PETALING JAYA – “Ibu adalah manisan yang saya perlukan”
Itu kata-kata menyentuh hati seorang tahanan Palestin, Ahmad, selepas hampir dua tahun dipenjara oleh rejim Israel sebelum akhirnya kembali ke pangkuan ibunya.
Menerusi hantaran video di Instagram @translating_falasteen, Ahmad menolak manisan yang dibawa ibunya sambil melutut untuk memeluk dan mencium ibunya.
Difahamkan, ibunya yang membawa manisan kerana bimbang tentang paras gula dalam darah Ahmad menurun selepas mendegar tentang kelaparan dan penderaan yang dialami di dalam penjara Israel.
“Gula? Untuk apa saya perlukan gula kalau saya sudah ada ibu? Ibu adalah manisan yang saya perlukan,” katanya di dalam video berkenaan.
Video tersebut menyentuh hati warganet yang rata-ratanya turut sebak melihat kasih sayang dua beranak tersebut selepas lama terpisah.
“Ibu yang cantik dengan sifat keibuan. Dia cuba memberi makan kepada anaknya walaupun tengah menangis dan tetap berkeras untuk anaknya makan sedikit,” komen @blissandblooms_
“Yang ni memang betul-betul buat saya sebak. Kesakitan dan penderitaan yang ibu dan anak ni telah lalui memang tak dapat terungkap dengan kata-kata,” kata Genma Roe.
“Walaupun dalam keadaan paling sukar, seorang ibu tetap menunjukkan kasih sayangnya dengan memberi makan kepada anak, tak kira berapa usia mereka. Sekali jadi ibu, selamanya seorang ibu,” komen Firth McEachern. – KOSMO! ONLINE