fbpx
MOHD. ZAWAWI (dua dari kiri) meninjau kerja pemasangan SPEG di Kampung Basung, Hulu Terengganu semalam.

Penduduk lega, tiada lagi ‘gangguan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU TERENGGANU – Masalah gajah liar menceroboh Kampung Basung dan Pasir Dula yang menghantui penduduk sejak sekian lama akan berakhir de­ngan pemasangan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) yang menelan kos RM400,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd. Zawawi Ismail berkata, pagar elektrik itu akan dipasang dari Kampung Basung hingga ke pintu masuk Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir sejauh kira-kira empat kilometer (km).

“Kita sedia maklum dua perkampungan itu kerap di­ceroboh kawanan gajah liar yang bukan sahaja merosakkan hasil pertanian, malah pernah meragut nyawa seorang penduduk beberapa tahun lalu.

“Pemasa­ngan SPEG ini merupakan antara langkah efektif untuk mengatasi masalah tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zawawi berkata, pemasangan SPEG sudah bermula minggu lalu dan dijangka siap sepenuhnya esok.

Kerja-kerja pemasangan itu dilakukan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dengan kerjasama Pasukan Basung Rangersdan penduduk.

“SPEG ini akan dikuasakan menggunakan tenaga solar kerana lebih menjimatkan. Harapan kita agar lebih banyak pagar elektrik dapat dibina di kawasan lain yang berisiko diceroboh haiwan liar tersebut pada masa hadapan,” katanya.

Kosmo! pada 6 Oktober 2024 melaporkan seorang lelaki warga emas ditemukan maut di kawasan kebunnya dipercayai akibat dipijak gajah di Kampung Basung.

Mayat mangsa, Musa Ahmad, 65, dijumpai pada pukul 7.30 pagi dalam keadaan hidung berdarah dan kesan lebam pada beberapa anggota badan seperti dipijak mamalia tersebut.

Kejadian disedari selepas anak mangsa mendapati warga emas itu tidak pulang setelah keluar ke kebun pada pukul 8 pagi sebelum membuat laporan polis pada pukul 9 malam.

Seminggu sebelum kematiannya, warga emas itu pernah me­ngadu mengenai ancaman gajah di kampungnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN