SHAH ALAM – Taktik mendakwa diri atau individu lain sebagai imam Mahdi dikesan menjadi antara helah paling kerap digunakan pengasas ajaran sesat untuk memperdaya dan menjerat pengikut mereka.
Modus operandi itu dijadikan sandaran kononnya mereka adalah pemimpin akhir zaman yang bakal memimpin tentera menentang kejahilan, sekali gus mengaburi minda pengikut yang taksub.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, dakyah berasaskan dakwaan palsu itu mudah menarik golongan fanatik atau pelampau yang terpengaruh dengan sosok imam Mahdi yang dinanti-nantikan oleh umat Islam.
“Rahsia kemunculan imam Mahdi membuatkan ramai berlumba-lumba mendakwa diri mereka sebagai pemimpin tersebut, sedangkan perihal imam Mahdi telah dinyatakan ciri-cirinya dalam hadis nabi.
“Mendakwa diri sebagai imam Mahdi merupakan satu kesalahan. Pengakuan palsu itu boleh membawa implikasi besar terhadap keharmonian agama dan masyarakat,” katanya dalam temu bual khas bersama Kosmo! di pejabatnya di sini.
Menurutnya, selain imam Mahdi, terdapat pengasas ajaran sesat yang mendakwa dirinya sebagai nabi atau rasul iaitu Abdul Kahar Ahmad yang pernah dipenjara, namun menghidupkan semula ajarannya sebelum ditahan pada 2020.
“Meskipun dipenjara (menjalani hukuman), pengikutnya masih taksub kerana dia berjaya membina ikatan hati dan perasaan. Ada pengikutnya yang berjawatan tinggi,” katanya.
Mohd. Shahzihan berkata, pengasas ajaran sesat biasanya menjanjikan syurga dengan jalan pintas menerusi ilmu hakikat dan makrifat sehingga menimbulkan andaian bahawa pengikut mereka sudah bersatu dengan Tuhan dan tidak lagi perlu menunaikan solat.
“Untuk menjadi ketua ajaran sesat tidak perlu berpelajaran tinggi, cukuplah apabila dapat meyakinkan orang ramai, pandai bercakap dan dikelilingi dengan orang yang jahil tentang Islam.
“Mereka terlalu mempermudah urusan agama dan membina keterikatan melalui ketaksuban dan sistem kepatuhan dalam kelompoknya.
“Semua ajaran sesat berbahaya kerana melibatkan ideologi, kepercayaan dan kefahaman. Orang yang lemah pegangan agama akan mudah terpengaruh, manakala pengikut yang taksub pula sukar menerima nasihat,” katanya.
Ditanya mengenai pemilihan Selangor sebagai pusat ajaran sesat, beliau berkata, negeri ini merupakan tempat strategik kerana berlakunya migrasi.
“Selain itu, bidang pendidikan juga tertumpu di Lembah Klang khususnya di Selangor. Di sinilah potensi, cabaran dan pergaulan boleh mencetuskan idea yang pelbagai. Selain itu, faktor lain adalah pemicu, ia cepat disebarkan kerana kepelbagaian masyarakat yang ada di sini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Shahzihan berkata, terdapat sebanyak 30 ajaran sesat sama ada secara berkumpulan atau individu diambil tindakan oleh JAIS sejak 2019 hingga Julai lalu.
“Seramai 896 individu termasuk ketua ajaran sesat ditahan dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda atau dipenjara.
“Pihak pendakwa syarie juga boleh mengesyorkan kepada mahkamah agar mereka mengikuti Program Pemulihan Akidah di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Ulu Yam bagi tempoh enam bulan hingga dua tahun,” katanya. -KOSMO! ONLINE














