fbpx
ZUBIMENDI mengakui tertarik dengan perancangan Arteta menyebabkan dia memilih Arsenal berbanding Liverpool. - AFP

EPL: Zubimendi dedah punca tolak Liverpool

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Bintang baharu Arsenal, Martin Zubimendi mendedahkan panggilan telefon daripada Mikel Arteta menjadi faktor utama dia menolak tawaran lumayan Liverpool demi menyertai The Gunners musim panas lalu.

Pemain tengah bertahan berusia 26 tahun itu menjadi nadi utama Arsenal sejak tiba dari Real Sociedad dengan yuran perpindahan £60 juta (RM338.18 juta), sekali gus membantu pasukan London itu mendominasi persaingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Zubimendi mengakui, sebelum ke Arsenal dia hampir menyertai Liverpool selepas kelab itu bersetuju dengan Real Sociedad untuk menandatanganinya tahun lalu, namun dia akhirnya memilih untuk kekal semusim lagi di Sepanyol sebelum berhijrah ke Emirates.

“Apabila ada tawaran datang, perkara pertama yang saya fikir adalah sama ada masa itu sesuai untuk tinggalkan Sociedad. Ketika itu bukan masa yang tepat. Saya mahu bertanggungjawab selepas beberapa pemain senior pergi dan saya belajar banyak pada musim itu,” katanya.

Menurutnya, keputusan menolak Liverpool bukan kerana kelab tersebut, tetapi kerana dia mahu menunggu peluang yang lebih tepat dan semuanya berubah apabila Arteta sendiri menghubunginya.

“Saya sudah lama perhatikan Arsenal dan saya suka cara mereka bermain penuh semangat, muda dan bertenaga.

“Bila Arteta telefon, kalau anda pernah bercakap dengannya, anda akan faham betapa meyakinkan dia. Beliau ‘gila’ bola sepak, sangat terperinci dan tahu apa yang beliau mahu. Tawaran itu paling sesuai untuk saya,” tambah pemain itu.

Zubimendi kini dilihat sebagai tunjang baharu projek jangka panjang Arteta yang sedang memburu kejuaraan pertama Arsenal dalam tempoh dua dekad. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN