fbpx
Seorang peneroka menunjukkan tanah bauksit di ladang sawit di Felda Bukit Goh, Kuantan pada tahun 2022.

Sawit ‘merajuk’ selepas bauksit digali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Setelah hampir 10 tahun moratarium dilaksanakan selepas pemberhentian pengambilan bauksit di Felda Bukit Goh, Kuantan, Pahang, nasib peneroka masih samar menyebabkan mereka semakin terbeban akibat terputus sumber pendapatan. Kesan daripada perlombongan bauksit itu menyebabkan kawasan tanah kesan perlombongan ‘terjejas’ teruk, malah keseluruhan kawasan seluas kira-kira 2,715.4 hektar dimilki 671 peneroka itu tidak dilakukan penanaman semula.

Untuk rekod, keluasan tanah terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit seluas 752.7 hektar melibatkan 186 peneroka dan kawasan tidak terlibat secara langsung dengan aktiviti perlombongan, tetapi berada dalam kawasan perlombongan bauksit berkeluasan 768 hektar melibatkan 190 peneroka. Seramai 271 peneroka lagi tidak terlibat dengan perlombongan mineral itu.

Meskipun pelbagai cadangan dikemukakan demi masa depan peneroka, tiada satu pun dilaksanakan peneroka tertanya-tanya nasib mereka.

Bagi mengupas isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN menemu bual Pengarah Pusat Kelestarian Mineral Dan Teknologi Pemulihan Sumber (SMaRRT Center) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Madya Dr. Mohd. Yuhyi Mohd. Tadza baru-baru ini.

Mohd. Yuhyi menunjukkan sampel tanah yang diambil di Felda Bukit Goh di Makmal Mekanik Tanah dan Geoteknik SMaRRT Center, UMPSA, Kuantan baru-baru ini.

KOSMO! Ahad: Adakah tanah di kawasan Felda Bukit Goh masih sesuai ditanam sawit selepas pengambilan bauksit termasuk daripada sudut kesuburan, keadaan tanah dan sebagainya?

MOHD. YUHYI: Perkara ini menarik untuk dibincangkan. Perkara ini hangat diperkatakan dan dibahaskan sekian lama sejak moratorium bauksit dikenakan sekitar 2016.
Persoalannya adakah tanah yang terlibat dalam aktiviti perlombongan bauksit menjadi tidak subur? Jawapannya tidaklah ‘straight forward’.

Bagaimanapun, kesan perlombongan bauksit seumpama di Johor menunjukkan tanaman kelapa sawit tidak menghasilkan buah setelah ditanam melepasi tempoh matang.

Bagaimanakah keadaan kesuburan tanah selepas bauksit diambil?
Yang nyata, sedikit sebanyak kesuburan tanah ini akan terkesan. Untuk menjawab perta­nyaan ini kita perlu memahami apakah yang dimaksudkan de­ngan kesuburan tanah.

Terdapat beberapa komponen yang penting dalam menjamin kesuburan tanah antaranya, kandungan organik merujuk kepada hasil pereputan tumbuhan dan haiwan.
Ia merupakan sumber nutrien yang tinggi, membantu menyimpan air dan membantu memulihkan struktur tanah.

Secara umumnya, semakin dalam tanah yang digali untuk mengambil bauksit, semakin kurang kandungan organik.

Kandungan dan sumber air yang mencukupi sangat penting untuk mengimbang kestabilan tanah dan juga memastikan ta­nah kekal subur. Kapasiti menampung air bergantung kepada jenis tanah.

Ada tanah yang mampu me­nyimpan air dengan baik, manakala ada jenis tanah yang tidak mampu menyimpan air. Kandungan air memastikan ia mencukupi untuk tanaman, memudahkan pergerakan nutrien untuk diserap oleh tumbuhan.

Nutrien tanah boleh dibahagikan kepada dua komponen, iaitu nutrien utama dari ion utama seperti nitrogen, phosphorus dan kalium. Manakala nutrien sekunder seperti kalsium, magnisium, sulfur dan natrium.

Elemen kimia lain atau nutrien mikro seperti zat besi, mangan, kuprum, zink, boron dan lain-lain juga sangat penting untuk memastikan kesuburan tanah dan tumbuhan. Ketersediaan nutrien ini perlu tetapi keperluan setiap tumbuhan adalah berbeza.

Nilai pH menentukan tahap keasidan dan kealkalian tanah. Kesuburan berdasarkan pH juga bergantung kepada tanaman yang berbeza.

Mikroorganisma, bakteria dan fungus memainkan peranan penting dalam aktiviti kesuburan tanah. Kehadiran mikroorganisma dapat membantu kitaran nutrien dalam tanah, membantu penguraian bahan organik dan pembentukan struktur tanah.

Tahap kepadatan dan struktur tanah sangat penting dalam menjamin kesihatan akar tumbuhan. Sekiranya tanah terlalu padat, akar pokok akan terencat dan tidak mampu menyerap air dan nutrien secara efektif.
Semua komponen kesuburan tanah yang diterangkan itu sa­ngat penting dalam menjamin tahap kesuburan tanah secara berterusan.

Persoalannya bagaimana aktivitivi perlombongan memberi kesan kepada komponen-komponen tersebut?
Dalam proses perlombongan, pelupusan lapisan tanah bahagian atas (top soil) perlu dijalankan supaya mineral dan bijih dapat diakses dan dikeluarkan. Top soil merupakan antara sumber utama dalam menentukan ke­suburan tanah.

Kehilangan lapisan ini melenyapkan beberapa komponen penting seperti kehilangan nutrien, mikroorganisma, kandu­ngan organik dan kadar menampung air menjadi terhad.

Semakin dalam proses menggali dilakukan, semakin padat tanah di permukaan bawah ta­nah. Ini kerana, lapisan atas memberi beban berterusan kepada permukaan bawah dan secara langsung memadatkan struktur tanah tersebut.

Selain itu juga lapisan bawah mungkin mempunyai tanah jenis yang berbeza komposisi dari ta­nah digali di permukaan.

Sekiranya tanaman dilakukan secara terus pada permukaan yang tinggal setelah melombong, tumbesaran tumbuhan akan terbantut kerana akar yang sihat tidak dapat dijana dan proses penyerapan air dan nutrien menjadi tidak efektif.

Selain itu, pergerakan mesin berat sewaktu aktiviti melombong menambah tahap kepadatan tanah.

Selalunya ini adalah faktor utama kenapa penanaman semula gagal dilakukan atau tanaman yang ditanam tidak membuahkan hasil.

Selain itu juga, aktiviti melombong secara tidak langsung memberi kesan pencemaran akibat pertumpahan bahan kimia dari mesin berat dan memberi kesan negatif kepada tahap kesuburan tanah.

Kalau sudah tidak subur bolehkah dipulihkan, apakah caranya dan kos?
Secara amnya dalam mana-mana kawasan yang terkesan akibat perlombongan, tahap kesuburan tanah boleh dan perlu dipulihkan. Antara langkah awal yang perlu dilakukan mengembalikan top soil kepada tempat asalnya.

Kehadiran semula top soil dapat memulihkan kawasan yang terkesan oleh aktiviti perlombo­ngan. Perkara ini biasanya tidak berlaku dan top soil biasanya dilupuskan terus di peringkat awal perlombongan.

Sekiranya ini berlaku, maka proses membaik pulih kawasan perlombongan atau rehab perlu dilakukan. Antaranya proses ‘recond’ kawasan yang terlibat. Proses ‘recondition’ boleh dijalankan dengan mengambil top soil yang bersesuaian dan di­letakkan di sekitar kawasan yang terkesan.

Selain itu, beberapa langkah lain seperti mencampurkan bahan organik, baja dan bahan kimia (soil ameliorant, perapi tanah) lain yang dapat membantu pro­ses pemulihan tanah.

Permukaan tanah juga perlu digembur, dirawat, dan distruktur semula bagi mengelakkan hakisan dan ketidakstabilan cerun. Disamping itu juga, menanam tumbuhan asal di kawasan yang terkesan dapat membantu memulihkan kawasan tersebut.

Persoalan yang berkaitan berapakah kosnya?
Kos pemuliharaan tanah bagi meningkatkan kesuburan berbeza mengikut keluasan tanah, kedalaman tanah yang terkesan dan cadangan proses pemulihan yang dijalankan.

 

Apakah mungkin ada tanaman lebih sesuai kalau sawit sudah tidak lagi sesuai dan apakah cadangan terbaik?

Bagi menjawab persoalan apakah tanaman yang sesuai, sawit atau apa-apa tanaman pun boleh disesuaikan untuk ditanam di atas bekas tapak perlombongan dan kawasan berdekatan yang terkesan.

Perkara penting yang perlu dilakukan adalah untuk menyediakan tanah sewaktu aktiviti pemulihan mengikut spesifikasi yang bersesuaian dengan tumbuhan yang bakal ditanam.

Seperti dinyatakan sebelum ini, keperluan tumbuhan berbeza-beza mengikut spesis tanaman. Keperluan baja, nutrien, air, pH dan mikroorganisma tanah bergantung secara khusus dan spesifik kepada tumbuhan ter­tentu.

Bagaimana pula proses pemulihan?
Proses pemulihan tapak perlombongan perlu mengambil kira apakah proses yang bersesuaian sekiranya penanaman semula ingin dilakukan pada masa hadapan.

Akhir sekali, bagi menjamin tahap kesuburan tanah berada pada tahap optimum, proses pembajaan dan penyiraman perlu dijalankan secara berkala walaupun proses pemulihan telah dilakukan pada tapak tersebut.

Apakah cadangan sekiranya perlombongan bauksit dite­ruskan?
Cadangan lain adalah memastikan pelan tindakan awal perlu disediakan sebelum mana-mana aktiviti perlombongan dijalankan. Adalah penting dalam mengambil kira pengasingan sementara top soil untuk dikembalikan ke kawasan asal dan bukan dilupuskan terus seperti praktis kebiasaanya.

Selain itu juga, pelan tindakan pemuliharaan perlu disediakan dan perancangan penggunaan tanah yang terlibat perlu dikenal pasti. Hal ini penting untuk memastikan supaya pelan pemuliharaan ini dapat dirangka dan dijalankan dengan baik bergantung kepada keperluan tanah pada masa hadapan.

Adakah kawasan Bukit Goh dan kawasan sekitar masih mempunyai bauksit?
Masih ada lagi bauksit di kawasan Bukit Goh, di kawasan Bukit Kuantan, Kotasas, Beserah, Gebeng dan Damansara di Kuantan.

Kesimpulannya antara tiga pilihan iaitu penanaman semula, pembangunan hartanah dan solar yang mana paling sesuai?
Untuk pemulihan perlu melihat kepada cadangan apa hendak dilakukan. Tiga ini boleh dilakukan dan solar paling mudah boleh terus dilakukan cuma ratakan tanah yang berbukit-bukit dan tanah tidak memerlukan rawatan spesifik.

Untuk penanaman semula perlu dilihat kepada kandungan dan kesuburan tanah serta kemampatan tanah bagi memastikan kesuburan dan kesesuaian tanah, manakala bagi pembinaan perumahan perlu dilihat keadaan tanah termasuk kemampatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN