fbpx
Dari segi dimensi luaran, kenderaan ini sebenarnya agak besar dengan panjang 4,739mm, lebar 1,800mm dan tinggi 1,680mm.

Leapmotor C10 SUV elektrik dengan mod tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JENAMA automotif Leapmotor yang merupakan pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China telah ditubuhkan pada akhir tahun 2015.

Syarikat automotif antarabangsa Stellantis yang memiliki jenama seperti Peugeot telah membuat pelaburan dan bekerjasama dengan Leapmotor melalui entiti Leapmotor International.

Leapmotor Malaysia telah memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik mereka, Leapmotor C10 pada Oktober 2024 diikuti versi terkini dengan peningkatan teknologi dan lebih berprestasi pada 2025.

C10 adalah model pertama yang diperkenalkan di Malaysia dan negara Asia Tenggara melalui kerjasama dengan Stellantis.

Model tahun 2025 ini hadir dengan pelbagai penambahbaikan dari segi praktikaliti, teknologi pengecasan dan keselesaan dalaman menjadikannya antara pilihan paling menarik dalam segmen EV tempatan ketika ini.

SUV elektrik dalam segmen D itu kini boleh dimiliki pada harga mampu milik RM125,000 (penjimatan RM34,000) berbanding harga asal RM159,000.

Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang untuk memandu uji Leapmotor C10 selama lima hari bagi menguji prestasinya yang dikatakan mendapat sentuhan jenama sport mewah, Maserati.

Boleh dikatakan pada pandangan pertama penulis, EV ini tidak jauh beza dengan EV lain di pasaran, namun bila sudah memandu penulis mula jatuh cinta.

Dengan rekaan minimalis dan moden, ruang kabin luas serta jarak pemanduan melebihi 400 kilometer (km), C10 bukan sekadar EV tetapi simbol mobiliti hijau yang bergaya, pintar dan praktikal untuk semua.

SUV ini sebenarnya agak besar dengan dimensi 4,739 milimeter (mm) panjang, 1,800mm lebar, 1,680mm tinggi dan jarak antara roda 2,825mm, tetapi agak mudah dikendalikan.

Ia dilengkapi dengan bantuan kamera 540 darjah yang mempunyai fungsi kamera tembus lihat termasuk di bahagian bawah bagi memberi keyakinan kepada pemandu.

Untuk pasaran Malaysia, C10 dilengkapi dengan tetapan motor elektrik tunggal yang menjana sebanyak 218PS (160 kW) dan 320Nm.

Ini membolehkan SUV elektrik ini memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa 7.5 saat untuk mencapai laju maksimum 170km/j.

Kenderaan ini dikatakan mendapat suntikan rekaan kereta sport mewah, Maserati.

C10 dikuasakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 69.9kWh dengan menghasilkan jarak gerak sehingga 424km (mengikut piawaian WLTP), sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.

Bagi penulis yang pernah memandu EV lain, jarak gerak 424km boleh dikatakan selamat dan tidak menimbulkan ‘range anxiety’ terutama bagi pengguna yang baru pertama kali ingin memiliki EV.

Untuk versi 2025, masa pengecasan dari 30 ke 80 peratus telah dipendekkan daripada enam jam kepada hanya empat jam yang memudahkan lagi rutin harian pengguna EV.

Lebih menarik, C10 kini dilengkapi Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (Direct TPMS) yang memaparkan bacaan tekanan tayar secara langsung dan pam tayar automatik bagi kecemasan di jalan raya.

Saiz SUV ini juga praktikal untuk pemanduan bersama keluarga dengan ruang but luas berkapasiti 435 liter dan boleh dipertingkat sehingga 1,410 liter apabila kerusi belakang dilipat.

Walaupun mendapat sentuhan Maserati, penulis merasakan suspensi C10 agak keras ketika melalui permukaan tidak rata mungkin kerana tiada ciri off-road dalam EV ini.

Apa pun, C10 masih sesuai digunakan sebagai kenderaan mengembara dengan kerusi belakang boleh dibaringkan dengan bumbung panaromik dibuka. Pengguna boleh bersantai bersama keluarga sambil berehat melihat langit.

Lebih menarik, C10 dilengkapi dengan mod tidur yang direka bagi memastikan penumpang dapat berehat dengan selesa apabila kenderaan tidak bergerak atau ketika mengecas.

Apabila mod tidur diaktifkan, kerusi akan direbahkan secara automatik ke posisi optimum untuk berehat dan pengguna boleh memilih alunan bunyi tenang.

Ia juga memiliki fungsi vehicle-to-load (V2L) yang berkapasiti 3.3 kW yang boleh digunakan untuk mengecas atau menyalurkan kuasa elektrik kepada peranti atau perkakasan ringkas.

Kunci keretanya adalah kunci kereta NFC iaitu teknologi yang membolehkan pengguna mengunci dan membuka kereta menggunakan kad atau telefon pintar dengan teknologi Near Field

Communication (NFC) sebagai pengganti kunci fizikal tradisional.

Dari segi pemanduan, C10 agak stabil tiada olengan ketika melalui selekoh dengan pengendalian sederhana sesuai dengan karakternya sebagai urban EV.

Dari segi reka bentuk bahagian hadapan C10 menampilkan sepasang lampu utama LED angel wing dengan lampu nyalaan siang (DRL) binaan dalam.

Corong kemasukan udara dengan fungsi Penutup Gril Aktif (AGS) pada bampar hadapan berfungsi menyejuk dan menambah baik aspek aerodinamik.

Melengkapkan gaya C10 adalah dengan rim saiz 20 inci reka bentuk ‘trident’ dengan pintu flush (tersembunyi).

Pilihan warna luaran Glazed Green, Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey.

Meninjau ruangan kabin, C10 dilengkapi dua skrin terapung untuk paparan infotainment dan kluster instrumen digital, masing-masing berukuran 14.6 inci dan 10 inci.

Pendekatan minimalis ini turut dapat dilihat melalui kemasan dalaman menggunakan material Oeke Tex yang hadir dalam skema warna baharu Camel Brown dan Black.

Perincian lain termasuk lampu ambien, pad pengecas tanpa wayar, kerusi hadapan dengan ventilasi dan pemanas.

Bagi melihat secara lebih dekat dan memandu uji C10 ini, orang ramai boleh mengunjungi pop-up store eksklusif anjuran Cycle & Carriage yang dibuka mulai hingga 20 Oktober ini.

Kesimpulannya, C10 adalah pilihan ideal bagi pengguna yang mencari EV moden pada harga yang lebih rendah berbanding jenama pesaing.

SUV elektrik ini menawarkan kombinasi jarak gerak yang jauh, ruang besar dan spesifikasi premium yang menjadi nilai tambah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN