fbpx
Polis Thai mempamerkan muka lelaki yang disyaki terlibat dalam rompakan kedai emas di Sungai Golok baru-baru ini.

Darah tiga perompak bongkar identiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NARATHIWAT, THAILAND – Pe­nemuan darah di dalam trak pikap yang digunakan sekumpulan penjenayah ketika merompak kedai emas di Sungai Golok di sini, Ahad lalu, membongkar identiti lima daripada 10 suspek terlibat.

Polis mengenal pasti lima sus­pek terbabit yang juga lelaki warga Thailand selepas melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas darah itu.

Sumber Pusat Operasi Kese­lamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, lima individu terbabit ialah Muhammad Nasai Jeyo, Bakri Samea, Suhaiming Awanu, Mahama Romsee Jehteh dan Saifuddin Yusoh.

Katanya, mereka dipercayai telah melarikan diri ke Malaysia selepas merompak barangan kemas bernilai lebih RM3.11 juta.

“Siasatan pasukan khas Polis Wilayah 9 di lokasi kejadian dan dua trak pikap yang digunakan dalam rompakan itu menjumpai sampel DNA tiga daripada 10 sus­pek terlibat.

“Salah seorang suspek mengalami luka ketika rompakan di kedai emas terbabit selepas terkena kaca cermin pameran.

“Daripada sampel DNA darah itu, pihak berkuasa telah berjaya mengenal pasti mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Menurutnya, kesan DNA turut dijumpai di dalam dua buah trak pikap yang digunakan dan ditinggalkan dalam kebun kelapa sawit di Daerah Waeng, berhampiran sempadan Thailand-Malaysia selepas rompakan.

Katanya, empat daripada lima suspek terbabit pernah terlibat dalam beberapa kes melibatkan ancaman keselamatan termasuk memiliki dan menyembunyikan bom buatan sendiri.

“Pihak berkuasa Thailand percaya sesetengah perompak terbabit telah melarikan diri ke Malaysia.

“Ini adalah kes besar dan diberi keutamaan sehingga ke pe­ringkat menteri. Oleh itu kami meminta pihak berkuasa dan rakyat Malaysia membantu mengesan kelima-lima suspek yang dikenal pasti ini,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, suasana tenang di sebuah pasar raya di daerah ini pada Ahad lalu bertukar kecoh apabila 10 lelaki berpakaian serba hitam dan bersenjata raifal M16 dan AK104 melepaskan tembakan ketika merompak sebuah kedai emas.

Dalam rompakan terancang pada pukul 6.30 petang itu, kumpulan perompak tersebut mela­rikan pelbagai barangan kemas bernilai RM3.11 juta.

Seorang anggota tentera berpangkat sarjan mejar yang berada berhampiran lokasi turut cedera ditembak.

Kesemua suspek disyaki me­ninggalkan dua trak pikap yang mereka naiki di kebun kelapa sawit sebelum melarikan diri ke Malaysia melalui jalan hutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN