BESUT – Seekor harimau dahan yang sebelum dipercayai telah membaham empat haiwan ternakan penduduk berjaya ditangkap Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu di Kampung Kelekok La, Hulu Besut di sini semalam.
Haiwan buas seberat kira-kira 25 kilogram tersebut didapati memasuki perangkap dipasang Perhilitan sejak 2 Oktober lalu.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, sebelum ini harimau dahan tersebut dikesan memasuki kawasan perkampungan tersebut sejak lebih seminggu lalu.
“Sepanjang tempoh berkenaan, haiwan liar tersebut didakwa telah membaham tiga ekor kambing dan seekor lembu ternakan penduduk.
“Harimau dahan sebenarnya spesies haiwan yang jarang ditemukan di Terengganu namun setakat ini dua ekor telah ditangkap sejak awal tahun ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kean Seong berkata, pemeriksaan mendapati haiwan dilindungi tersebut berada dalam keadaan sihat dan akan dilepaskan ke habitat asalnya dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE