PETALING JAYA – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menyambut baik Belanjawan Negara 2026 yang akan terus memajukan visi ekonomi dalam usaha membina Malaysia yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, melalui inisiatif GEAR-uP menerusi Dana Pemacu dan Dana Perintis, pihaknya kekal komited dalam menggerakkan modal yang memperkukuh ekosistem pelaburan Malaysia dan merangsang pemacu pertumbuhan negara yang seterusnya.
Menurut beliau, sebanyak RM1.2 bilion yang telah diperuntukkan di bawah Dana Pemacu dijangka dapat membina landskap pelaburan domestik yang dinamik, dengan tumpuan kepada sektor berpotensi tinggi seperti peralihan tenaga, keselamatan makanan dan ekonomi digital, yang selaras dengan penekanan belanjawan terhadap industri berasaskan inovasi dan penciptaan nilai.
“Melengkapinya, pelaburan gabungan di bawah Dana Perintis KWAP dan Jelawang Capital Khazanah akan meningkat kepada RM750 juta (daripada RM550 juta) bagi mempercepatkan ekosistem permulaan dan inovasi Malaysia, memupuk perusahaan yang menyumbang kepada kemajuan teknologi dan penciptaan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.
NIk Amlizan menerangkan, KWAP dan Khazanah Nasional Berhad akan melabur bersama sebanyak RM550 juta dalam ekosistem semikonduktor, satu langkah strategik untuk memperdalam kerjasama antara firma tempatan dan pemain multinasional, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab global bagi pembuatan bernilai tinggi dan teknologi termaju.
Selain itu, dalam kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, sebagai sebahagian daripada komitmen KWAP sebanyak RM300 juta, satu projek kediaman warga emas akan dibangunkan di atas tanah Baitulmal di Kepala Batas, Pulau Pinang, sambil menilai projek serupa di lokasi lain untuk memberi manfaat kepada lebih ramai warga emas dari isi rumah berpendapatan rendah.
“Kami berbesar hati memperuntukkan RM20 juta bagi program pembiayaan mikro yang direka untuk menggalakkan keusahawanan dalam kalangan pesara, membolehkan mereka kekal aktif secara ekonomi dan menambah pendapatan selepas bersara.
“Penekanan belanjawan terhadap pendigitalan membuka peluang baharu untuk mewujudkan ekonomi yang lebih inklusif dan saling berhubung. Ini memastikan rakyat Malaysia dari semua lapisan mendapat manfaat daripada peralihan negara ke arah pertumbuhan bernilai tinggi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE