KUALA LUMPUR – Siapa sangka, individu yang dahulunya ditugaskan untuk melaporkan peristiwa jenayah dan bencana kini menjadi sebahagian daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Itu perjalanan bekas wartawan jenayah Kosmo!, Inspektor Percubaan Nur Azmi Nordin, 26, yang kini bergelar pegawai polis selepas lebih dua tahun memburu berita di lapangan.
Menurut pemuda dari Ipoh itu, pengalaman membuat liputan kes jenayah dan melihat sendiri kecekalan anggota polis ketika bertugas menjadi pencetus semangat untuknya menyertai pasukan keselamatan tersebut.
“Tidak pernah terniat untuk menyertai PDRM, tetapi selepas bergelar wartawan Kosmo! dan ditempatkan di Meja Jenayah, saya berpeluang menyertai operasi penguat kuasa yang berjaya membuka mata.
“Apa yang menggerakkan hati dan membuatkan minat lebih mendalam terhadap PDRM apabila melihat sendiri ketekunan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Yusof yang kerap mengingatkan orang ramai tentang pencegahan jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nur Azmi berkata, dia berharap dapat ditugaskan sebagai pegawai penyiasat di bahagian jenayah terutama D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) di Kontinjen Kuala Lumpur.
“Meskipun ramai yang kata cabarannya sangat tinggi, tapi saya rasa cabaran itu yang saya perlukan untuk terus menjadi pegawai polis yang mantap, sedia untuk berkhidmat kepada masyarakat,” jelasnya.
Sementara itu, Inspektor Percubaan Mahira Alias, 40, dari Lenggong, Perak tidak menyangka dinobatkan sebagai pelatih terbaik secara keseluruhan.
Ibu empat cahaya mata itu berkata, dia membuat permohonan kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia pada 2022.
“Alhamdulillah rezeki memihak kepada saya walaupun selepas setahun memohon. Keluarga terutama suami menjadi penguat semangat dan tulang belakang saya selama sembilan bulan di sini.
“Saya bersyukur dinobatkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan. Sasaran saya untuk terus lebih maju, berkhidmat dengan lebih cemerlang dan menjaga integriti pasukan,” jelasnya.
Pada istiadat berkenaan, seramai 345 Inspektor Percubaan berjaya menamatkan program latihan asas kepolisan selama sembilan bulan di Pulapol. – KOSMO! ONLINE














