BERLIN – Ketua jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann diberi amaran supaya berhenti melakukan eksperimen sekiranya tidak mahu pasukan itu berdepan kemungkinan gagal ke pusingan akhir Piala Dunia 2026.
Legenda bola sepak Jerman, Lothar Matthaus berharap pasukan itu kembali ke formasi tradisi menjelang aksi kelayakan Piala Dunia menentang Luxembourg yang akan berlangsung di PreZero Arena awal pagi esok.
Beliau menyifatkan, sudah tiba masanya Jerman berhenti melakukan eksperiman dalam perlawanan kerana ia mampu menjejaskan peluang mereka untuk melangkah ke Piala Dunia sekiranya tidak menjadi.
“Masa untuk melakukan eksperimen perlu berakhir dengan segera, tidak kira dari taktikal perlawanan ataupun pemain. Pasukan perlu mula mendapatkan rentak sebenar kerana sudah kesuntukan masa.
“Aksi menentang Luxembourg amat sesuai untuk kita kembali menggunakan formasi 3-4-2-1 kerana eksperimen 4-2-3-1 sebelum ini mengelirukan pemain. Ini adalah masa untuk kita menguji formasi asal,” katanya.
Pada ketika ini, skuad Die Mannschaft itu berada di tangga ketiga Kumpulan A aksi kelayakan, mengumpul tiga mata selepas sekadar mencatat satu kemenangan selain mengalami satu kekalahan.
“Saya menyarankan formasi 3-4-2-1 dengan dua pemain sayap, sama seperti Bayer Leverkusen ketika di bawah bimbingan Xabi Alonso. Bagi saya, ia formasi yang paling sesuai dengan Jerman sekarang,” ujar Matthaus. – AGENSI














