PETALING JAYA – Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan hampir RM120 juta untuk pekebun kecil di negara ini.
Berita baik itu diumumkan oleh beliau semasa Pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
“Kerajaan membela nasib pekebun kecil yang memerah keringat, membanting tulang mencari rezeki di ladang dengan peruntukan hampir RM120 juta.
“Antaranya untuk menampung sebahagian kos tanaman semula pekebun kecil sawit bagi menggantikan sawit tua, menggalakkan pekebun kecil getah menghasilkan getah dan mengusaha semula ladang-ladang getah persendirian yang terbiar.
“Seterusnya, membekalkan pekebun kecil koko dengan 1.1 juta anak benih koko berkualiti termasuk bantuan latihan oleh pemain industri, mengurangkan beban pekebun kecil lada susulan peningkatan kos input seperti baja dan racun dan menyokong pekebun kecil kenaf untuk meningkatkan hasil kenaf sebagai salah satu sumber pertumbuhan baharu agrikomoditi,” katanya.
Beliau berkata, selain itu RM50 juta turut disediakan untuk membangunkan dan menyelenggara jalan-jalan ladang di seluruh negara.
Katanya, Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan membangunkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dengan kos RM600 juta demi kemampanan masa depan industri.
LGM juga akan melaksanakan program insentif pengeluaran lateks serta pengaktifan ladang getah terbiar. – KOSMO! ONLINE














