PETALING JAYA – Golongan pekerja swasta dalam kelompok kelas menengah (M40) berharap Belanjawan 2026 memberi penekanan kepada penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan langkah
konkrit mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit.
Tinjauan Kosmo! mendapati, ramai dalam kalangan pekerja sektor swasta mahu kerajaan memperkukuh ekonomi kelas menengah dengan dasar yang menjamin kestabilan pendapatan serta mengurangkan beban cukai dan harga barangan asas.
Seorang jurutera perisian, Amir Hakim Kamarudin, 29, berkata, kerajaan perlu memperluas peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan menggalakkan latihan kemahiran digital agar M40 kekal berdaya saing dalam pasaran kerja.
“Ramai dalam golongan M40 turut terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, tetapi tidak mendapat manfaat langsung daripada dasar sedia ada. Kami perlukan sokongan dalam bentuk insentif cukai, subsidi pendidikan anak dan penyelarasan semula subsidi bahan api,” katanya.
Amir turut menegaskan bahawa pengurangan kadar cukai pendapatan dan penstabilan harga barang asas akan membantu meningkatkan aliran tunai isi rumah serta mengekalkan kuasa beli rakyat.
Sementara itu, usahawan pes masakan, Noridahwatty Nawi, 47, pula mahu kerajaan memberi tumpuan kepada kelangsungan perniagaan tempatan yang turut membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.
“Kos bahan mentah yang meningkat memberi tekanan besar kepada kami. Jika kerajaan boleh bantu kurangkan beban ini dan beri potongan cukai kepada perniagaan kecil, ia bukan sahaja bantu peniaga kekal bertahan, tapi juga mampu cipta lebih banyak pekerjaan,” ujarnya.
Beliau yang mengusahakan perniagaan pes makanan di bandar menambah, dasar menggalakkan perniagaan tempatan berkembang secara mampan turut memberi kesan berganda kepada ekonomi golongan kelas menengah.
Golongan M40 juga sepakat bahawa kerajaan perlu menumpukan kepada isu pendidikan dan perumahan sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang memperkukuh kestabilan ekonomi mereka.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pemberian subsidi taska berlesen, pelepasan cukai tambahan untuk keluarga muda, serta skim pinjaman rumah pertama dengan kadar faedah rendah tetap.
Belanjawan 2026 Malaysia akan dibentangkan pada 10 Oktober ini pada pukul 3 petang di Dewan Rakyat.
Pembentangan ini merupakan Belanjawan Madani Keempat dan juga belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026-2030.














