fbpx
Gambar hiasan

Hasil cukai vape dicadang salur terus ke negeri, PBT – Exco Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mencadangkan sebahagian hasil cukai penjualan produk vape disalurkan terus kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperkukuh penguatkuasaan serta pendidikan awam.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, langkah itu penting agar kutipan cukai memberi impak nyata dalam menangani kesan negatif penjualan dan penggunaan rokok elektronik.

“Jika tidak, cukai yang dikutip tidak memberi kesan secara langsung untuk melancarkan tindakan penguatkuasaan, terutama apabila PBT berdepan kekurangan sumber dan tenaga kerja membendung penjualan vape secara berkesan,” katanya hari ini.

Jamaliah berkata, agihan hasil cukai mampu memperkukuh operasi bersepadu terhadap premis menjual vape secara haram, melaksanakan program kesedaran komuniti serta menyediakan rawatan pemulihan bagi ketagihan nikotin.

Jelasnya, kerajaan negeri mengambil maklum hasrat KKM memperketatkan kawal selia terhadap produk vape demi melindungi remaja dan masyarakat daripada risiko kesihatan serius.

“Pendirian Selangor akan berpandukan keputusan kerajaan Persekutuan supaya dasar kawalan dan penguatkuasaan lebih seragam.

“Jika tumpuan diberikan pada aspek penguatkuasaan sebelum pengharaman sepenuhnya, negeri akan beri kerjasama penuh di bawah Akta 852,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI