PELBAGAI tarikan yang terdapat di Manjung menjadikan daerah itu sebagai salah satu lokasi yang sering dikunjungi oleh pelancong dari dalam atau pun luar negara.
Lokasi seperti Pulau Pangkor yang menawarkan pelbagai bentuk aktiviti terutama di laut selain penginapan selesa menyumbang kepada kehadiran pelancong antarabangsa di daerah itu.
Bagaimanapun, cabaran demi cabaran perlu dihadapi pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab iaitu Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam memastikan daerah tersebut kekal mesra pelancong dan bersedia menerima kehadiran golongan menuntut disiplin tinggi daripada semua kakitangannya.
Daerah Manjung tidak terlepas daripada bencana alam seperti hujan lebat serta banjir yang sedikit sebanyak menjadi cabaran kepada MPM untuk menyediakan persekitaran mesra pelancong.
Sebagai contoh, banjir yang melanda daerah ini pada November dan Disember tahun lalu menjejaskan beberapa lokasi pelancongan di Manjung, antaranya Pantai Teluk Batik.
Dapat dilihat dengan jelas di Pantai Teluk Batik kemusnahan yang berlaku terhadap pesisir pantainya serta beberapa infrastruktur di lokasi tersebut. Ia tentunya memberi impak kepada perancangan MPM terhadap Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Wartawan Kosmo! Ahad, Luqman Ridhwan Mohd. Nor menemu bual Yang Dipertua MPM, Muhammad Faizal Shah Safian Suri bagi mengupas peranan PBT tersebut mendepani cabaran TMM 2026.

Kosmo! Ahad: Adakah Manjung bersedia menerima kehadiran pelancong bagi TMM 2026?
Muhammad Faizal Shah: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) secara umumnya bersedia menerima kehadiran pelancong sempena TMM 2026 dengan Pulau Pangkor merupakan antara tumpuan utama pelancongan daerah ini dan negeri Perak.
Pelbagai persediaan sedang dan telah dilakukan melibatkan aspek infrastruktur, kebersihan, keselamatan, promosi serta penglibatan komuniti dan pemain industri di daerah ini dan negeri.
Dari segi aksesibiliti, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) kini menjadi pemangkin utama memudahkan perjalanan pelancong ke Manjung, khususnya dari Lembah Klang dan negeri-negeri berhampiran.
Kemudahan jaringan jalan raya yang lebih lancar ini secara tidak langsung menjadikan Manjung lebih mudah diakses dan berdaya saing sebagai destinasi pelancongan.
Persediaan MPM bagi TMM 2026 turut digerakkan seiring Sambutan Jubli Perak 25 Tahun MPM yang menjadi platform penting untuk memperkukuh imej Manjung sebagai destinasi pelancongan utama.
Antara langkah dilaksanakan termasuk penambahbaikan prasarana dan kemudahan awam, peningkatan kebersihan dan keceriaan bandar, penganjuran program serta acara berimpak tinggi, pemerkasaan promosi destinasi serta penglibatan komuniti dan pemain industri pelancongan.
Sambutan Jubli Perak ini juga dimanfaatkan untuk menonjolkan pencapaian, identiti dan potensi Manjung kepada pelancong tempatan dan luar negara.
Adakah Pulau Pangkor menjadi penyumbang terbesar sektor pelancong Perak?
Pulau Pangkor merupakan tarikan utama dan paling signifikan di daerah Manjung.
la satu-satunya pulau di Perak yang berstatus Pulau Bebas Cukai, sekali gus menjadikannya antara destinasi pelancongan paling menarik di negeri ini.
Pada tahun lalu, Pulau Pangkor muncul antara penyumbang terbesar jumlah pelancong ke Perak sempena Tahun Melawat Perak 2025 dengan kehadiran sekitar 1.75 juta pelancong, membuktikan kedudukan dan kekuatan pulau ini sebagai produk pelancongan utama Manjung dan Perak.
Antara tumpuan utama pelancong ke Pulau Pangkor ialah kelebihan status bebas cukai yang membolehkan pembelian barangan seperti coklat, pinggan mangkuk berjenama, minyak wangi dan bagasi pada harga lebih berbaloi.
Selain itu, Pulau Pangkor cukup dikenali sebagai lokasi percutian keluarga dengan pilihan penginapan selesa dan berpatutan, malah setaraf hotel empat bintang.
Keunikan Pulau Pangkor turut terletak pada keaslian yang masih terpelihara, di mana cara hidup komuniti nelayan tempatan masih kekal dan menjadi sebahagian pengalaman pelancong.
Mereka berpeluang melihat dengan lebih dekat aktiviti harian penduduk serta suasana kampung nelayan yang autentik.
Dari sudut gastronomi, Pulau Pangkor terkenal dengan makanan signature seperti laksa mi Pangkor, ikan bilis mata biru yang dihasilkan secara tradisional serta cucur ikan yang menjadi buruan pengunjung.
Selain itu, ia turut menawarkan tarikan edutourism dan sejarah seperti Galeri Pangkor, Batu Bersurat dan Kota Belanda peninggalan Syarikat Hindia Timur.
Menariknya, kebanyakan lokasi tarikan pelancongan di Pulau Pangkor terletak berhampiran antara satu sama lain, membolehkan pelancong merancang lawatan dengan mudah serta menikmati pengalaman lebih dekat, santai dan menyeluruh dalam tempoh singkat.
Kraftangan tempatan seperti hasil seni berasaskan ikan juga menambah nilai kepada pengalaman pelancongan di pulau ini.

Apakah program berimpak tinggi dirangka untuk Pulau Pangkor?
Pulau Pangkor di bawah pengurusan Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai MPM telah merangka pelbagai program berimpak tinggi dan berterusan bagi memastikan pengalaman pelaricong sentiasa segar, tersusun dan berkualiti.
Antaranya fenomena laut terbelah yang menjadi tarikan ikonik dan unik Pulau Pangkor, sambutan perayaan pelbagai kaum, mencerminkan keharmonian komuniti setempat serta acara sukan dan larian, termasuk aktiviti rekreasi dan sukan pantai yang menarik minat pelancong pelbagai peringkat umur.
Sambutan Bulan Kemerdekaan, dengan pengisian berunsur patriotisme, kebudayaan dan pelancongan setempat. Pelbagai program komuniti dan pelancongan lain yang menyokong ekonomi
Sehubungan itu, Manjung sentiasa mengalu-alukan kehadiran bukan sahaja pelancong, malah pengkaji, penyelidik dan pelabur.
Daerah Manjung bukan sekadar sebuah bandar maritim percutian keluarga, tetapi berpotensi besar sebagai sebuah kawasan edutourism yang menggabungkan elemen pendidikan, alam semula jadi, sejarah, komuniti dan pelancongan lestari.
Bagaimana MPM memperkasakan sektor pelancongan maritim?
MPM memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan maritim melalui pelaksanaan dan pemerkasaan aktiviti berkaitan pantai dan laut, penjenamaan Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancongan maritim utama.
Selain itu, sokongan dan pembangunan berterusan dibuat pada jeti bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengunjung, pengusaha bot dan operator aktiviti air serta penambahbaikan kemudahan pantai.
MPM turut menekankan aspek kelestarian dan pemeliharaan ekosistem marin melalui pendekatan pelancongan mampan, penglibatan komuniti nelayan setempat, program kesedaran alam sekitar, serta kerjasama strategik bersama agensi berkaitan.
Usaha ini bertujuan memastikan pembangunan pelancongan maritim di Manjung bukan sahaja berdaya saing, malah memberi manfaat ekonomi jangka panjang kepada komuniti tanpa menjejaskan keseimbangan alam sekitar.
Apa tarikan utama yang ada di Manjung?
Selain keunikan Pulau Pangkor, Manjung turut mempunyai pelbagai tarikan pelancongan termasuk produk pelancongan tempatan seperti hasil laut segar dan pelbagai produk komuniti.
Selain itu, Manjung turut menawarkan keunikan semula jadi seperti Pantai Teluk Batik. Pantai Teluk Senangin, Taman Paya Bakau Bandar serta kawasan Lumut sebagai pintu masuk utama ke Pulau Pangkor.
Keunikan kawasan bandar turut diperkukuh dengan jajaran Lumut Waterfront yang menawarkan pemandangan laut yang menarik serta suasana santai untuk aktiviti riadah dan rekreasi.
Sebagai nilai tambah, Dataran Doodle Art diperkenalkan sebagai tarikan baharu yang menampilkan mural seni kreatif dan estetik, sekali gus menjadi lokasi tumpuan pengunjung dan tarikan bergambar.
Secara keseluruhan, Manjung menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi dan riadah yang sesuai untuk seisi keluarga dan pelancong daripada pelbagai peringkat usia.
Secara keseluruhannya, daerah Manjung bukan sekadar destinasi percutian, tetapi turut menawarkan pengalaman pelancongan lengkap merangkumi alam semula jadi, budaya, pendidikan, gastronomi dan gaya hidup bebas cukai, yang terus relevan dan berdaya saing sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Apa perkembangan Pantai Teluk Batik yang berubah muka buminya ketika banjir hujung tahun lalu?
MPM bersama agensi-agensi berkaitan telah mengambil langkah-langkah pemulihan dan penambahbaikan di kawasan Pantai Teluk Batik susulan kejadian hakisan pantai yang berlaku pada 23 November 2025, akibat gabungan cuaca tidak menentu dan paras air pasang yang tinggi pada ketika itu.
Untuk makluman, kerja-kerja pembersihan, pembaikan kemudahan awam serta pemantauan berterusan terhadap keadaan pantai telah dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan pengunjung yang berkunjung ke pantai peranginan Teluk Batik sentiasa terjamin.
Bagi 2026, MPM akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memanjangkan jajaran pantai di Teluk Batik.
Ia sebagai usaha memastikan kawasan ini terus selamat serta menarik untuk pelancong, memperkukuh ketahanan pantai, meningkat daya tarikan pelancongan, dan antaranya projek lukisan mural di tandas awam yang mengangkat keunikan pantai
Selain itu, MPM juga sentiasa bersedia melaksanakan tarikan baharu di Teluk Batik dan daerah Manjung, serta tapak perkhemahan (campsite) Teluk Batik yang terus menjadi tumpuan pengunjung, tidak kira pada cuti sekolah atau hujung minggu.
Apakah usaha dilakukan MPM untuk menguar-uarkan mengenai tarikan di Manjung kepada orang ramai khususnya pengunjung luar negara?
Kita giat melaksanakan promosi melalui media sosial dan platform digital rasmi. MPM juga memanfaatkan kerjasama strategik bersama rakan media dan agensi kerajaan.
Ini termasuk hubungan erat dengan Tourism Malaysia dan Tourism Perak dalam memastikan promosi dilaksanakan secara konsisten dan berimpak tinggi.
Dalam hal ini, kalendar takwim acara pelancongan tahun 2026 turut dikongsikan oleh Tourism Perak sebagai sebahagian daripada usaha memperluas hebahan acara dan program yang berlangsung di Manjung dan Pulau Pangkor ke peringkat lebih luas.
Selain itu, MPM turut mempergiat promosi bersepadu melalui penglibatan media arus perdana dan media baharu, penggunaan bahan promosi bercetak dan digital, kerjasama dengan pempengaruh (influencer) pelancongan, serta promosi silang bersama pengusaha hotel, penginapan dan operator pelancongan.
Adakah pemain-pemain industri pelancongan bersedia menerima kehadiran pelancong?
Pemain industri pelancongan termasuk pengusaha hotel dan penginapan, pengangkutan serta pengusaha makanan menunjukkan tahap kesiapsiagaan baik dalam hal ini.
Ia dilakukan melalui penambahbaikan perkhidmatan dan kerjasama berterusan bersama pihak MPM.















