KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut digertak sindiket penipuan atau scammer kononnya sedang disiasat sebagai ‘keldai akaun’, seorang peniaga terperdaya sehingga kerugian RM83,500.
Lelaki berusia 35 tahun itu yang kehilangan simpanan Tabung Haji dan modal perniagaannya telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 6.17 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, peniaga terbabit telah dihubungi individu mengaku kononnya pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada pukul 1.15 tengah hari, 1 Oktober lalu.
“Mangsa terkejut apabila didakwa kononnya butiran peribadinya telah disalah guna scammer dari Kemaman dekat sini.
“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu yang mendakwa kononnya pegawai polis pula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, peniaga terbabit tambah terkejut apabila dimaklumkan kononnya dia turut disiasat dalam kes penggubahan wang haram dan disyaki merupakan ‘keldai akaun’.
Beliau berkata, suspek mengarahkan lelaki itu agar mengeluarkan semua wang simpanannya kononnya sebagai syarat penyelesaian kes.
“Mangsa yang ketakutan telah menurut arahan itu. Dia telah memindahkan wang simpanannya ke dalam tiga akaun bank diberi suspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE