PENIPUAN dalam talian atau scam menjadi antara ancaman siber paling meluas yang menjejaskan masyarakat.
Ia satu masalah yang masih belum berpenghujung apabila masih ramai mangsa yang dilaporkan tertipu oleh sindiket itu pada setiap hari.
Menyedari keperluan mendesak untuk meningkatkan literasi digital, TikTok Malaysia melancarkan inisiatif #ThinkTwice yang diperluas dengan hab maklumat pelbagai bahasa.
Menurut Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Firdaus Fadzil, langkah itu bertujuan memberi akses mudah kepada pengguna untuk mendapatkan panduan pencegahan penipuan melalui pelbagai saluran, termasuk video pendek, iklan carian, kandungan pencipta serta dialog industri melibatkan agensi kerajaan.
“Hab maklumat dalam aplikasi TikTok kini tersedia dalam empat bahasa utama iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
“Pendekatan ini diharap dapat memperluaskan capaian mesej keselamatan digital kepada jutaan pengguna dengan latar belakang berbeza,” katanya ketika berucap pada sesi taklimat media #ThinkTwice Inisiatif Literasi Digital dan Kerjasama di Menara Sunway V2, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, kolaborasi erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi berkaitan lain membuktikan komitmen platform itu mewujudkan ekosistem digital lebih selamat.
Beliau turut menegaskan, keselamatan dalam talian merupakan tanggungjawab bersama. Pada masa sama, pendidikan adalah kunci utama dalam membanteras penipuan kerana taktik penjenayah siber sentiasa berubah.
Oleh itu, melalui #ThinkTwice, TikTok berhasrat untuk memperkasakan rakyat dengan ilmu dan alatan bagi melindungi diri serta komuniti.

“Inisiatif ini digerakkan melalui tiga prinsip iaitu ‘Menilai, Mencegah, dan Melindungi’. ‘Menilai’ menekankan kepentingan menimbang kesahihan sesuatu maklumat atau tawaran, manakala ‘Mencegah’ mengajak pengguna memanfaatkan fungsi keselamatan TikTok dan alatan kerajaan bagi mengesan tanda-tanda mencurigakan.
“Prinsip ‘Melindungi’ pula menuntut komuniti untuk saling menjaga antara satu sama lain, termasuk melaporkan aktiviti menyalahi undang-undang atau garis panduan platform,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihak berkuasa melihat langkah tersebut sangat tepat pada masanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Rusdi Mohd. Isa mendedahkan bahawa kebanyakan kes penipuan sebenarnya boleh dicegah.
Antara modus operandi yang lazim di Malaysia adalah penipuan pelaburan, pancingan data (phishing), panggilan palsu, penipuan pekerjaan, cinta dalam talian serta pinjaman tidak wujud.
Beliau menekankan kepentingan menggunakan portal Semak Mule PDRM sebagai salah satu alatan pengesahan.
SKMM turut menyokong inisiatif itu dengan menekankan bahawa kesedaran dan pendidikan merupakan benteng pertahanan utama.

Selain memperkukuhkan portal pengesahan rasmi, Sebenarnya.my, SKMM kini memperkenalkan pembantu semakan fakta dengan kecerdasan buatan (AI) dikenali sebagai AIFA.
Alatan itu mampu membantu pengguna mengesahkan maklumat dengan lebih pantas dan yakin.
“Melalui kerjasama sektor awam dan swasta, TikTok menyasarkan untuk membina komuniti digital lebih termaklum, peka serta berdaya tahan menghadapi ancaman siber.
“Orang ramai boleh mengakses hab maklumat #FikirDulu dengan mudah di aplikasi TikTok melalui carian kata kunci relevan.
“Ia menyediakan tip pencegahan penipuan, garis panduan komuniti serta talian bantuan daripada pihak berkuasa,” kongsi Firdaus.
Dengan peningkatan kes penipuan yang semakin sofistikated, usaha bersepadu itu jelas membuktikan bahawa keselamatan digital bukan sekadar tanggungjawab individu, malah memerlukan sokongan daripada semua pihak.
Inisiatif #ThinkTwice oleh TikTok merupakan satu langkah proaktif untuk membentuk masyarakat lebih celik digital.














