SERDANG – Pelayaran misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dijangka memasuki zon merah pukul 5 petang waktu Malaysia esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kesemua kapal bergerak pada kelajuan knot 4.00 telah memasuki 180 batu nautika zon kuning dari perairan pantai Gaza.
“Sebelum itu mereka berhenti 36 jam untuk latihan dan sebagainya.
“Kapal Conscience mula bergerak pada pukul 9.30 pagi tadi waktu Malaysia dan lapan kapal yang lain bergerak pukul 1 pagi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCare di sini hari ini.
Beliau berkata, Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali melaporkan kesemua delegasi kapal telah sebulat suara untuk bertemu dalam satu garis masa dijangka di 150 batu nautika.
“Mereka berkemungkinan berhadapan penahan rejim Zionis Israel,” katanya.
Turut berlangsung panggilan video bersama delegasi Malaysia yang menyertai misi FFC x TMTG serta turut disertai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau memohon rakyat Malaysia tidak mengira agama, warna kulit dan ideologi untuk bersama-sama memberikan sokongan terhadap Palestin.
“Ini adalah isu kemanusiaan dan sangat jelas badan antarabangsa mengisytiharkan ini genosid. Kita perlu bersatu hati atas nama kemanusiaan hentikan kekejaman jenayah kemanusiaan,” katanya.
Seramai lapan delegasi Malaysia kini sedang belayar atas kapal Conscience dengan seorang lagi delegasi menaiki kapal layar Umm Saad bagi misi FFC x TMTG.
Kapal terbesar Conscience melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCare, manakala seramai 93 peserta dari 22 negara berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.
Secara keseluruhan misi ini melibatkan 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan delegasi Malaysia. – KOSMO! ONLINE