fbpx
Hazwan (kiri) dan Ahnaf Aiman pada majlis pendaftaran pelajar baharu di UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Iltizam siswa baharu yatim piatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERPELUANG melanjutkan pengajian ke menara gading merupakan impian bagi semua pelajar.

Malah, ibu bapa adalah antara insan yang gembira dan tidak melepaskan peluang untuk hadir bersama-sama menghantar anak di hari pendaftaran masuk ke universiti.

Ketika pelajar lain ditemani ibu bapa untuk mendaftar masuk ke universiti, ia tidak bagi Muhammad Ahnaf Aiman Za Mohd. Zain, 19.

Dia yang merupakan anak yatim piatu hanya ditemani oleh kakak dan ibu angkat ketika mendaftar masuk sebagai mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi baru-baru ini.

Meskipun tidak dapat berkongsi momen melangkah sebagai pelajar baharu ke menara gading bersama orang tuanya yang sudah meninggal dunia, dia gembira kerana mendapat peluang untuk bergelar sebagai seorang mahasiswa.

Ahnaf Aiman mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UKM.

“Saya percaya, kalau tidak ada pendidikan, susah untuk kita kejar cita-cita. Dengan ilmu, kita bukan saja boleh mengejar kerjaya profesional, tapi juga boleh jadi manusia yang lebih baik,” katanya kepada K-Kampus ketika ditemui sewaktu pendaftaran pelajar baharu UKM sesi akademik 2025/2026 baru-baru ini.

Ahnaf Aiman berkata, dia memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan kerana minat dengan nombor dan bidang ini banyak menghitung nombor.

“Saya gembira kerana perakaunan ini merupakan pilihan utama saya untuk melanjutkan pengajian,” katanya.

Kongsinya, untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di UKM dia perlu melalui sesi temu duga terlebih dahulu.

Selepas sesi temu duga tersebut, Ahnaf Aiman mengakui dirinya berasa seakan tidak layak untuk melanjutkan pengajian di dalam bidang tersebut di UKM.

“Ramai calon lain yang lebih baik turut hadir di dalam temu duga dan saya tidak yakin akan diterima. Saya tidak meletakkan sebarang harapan, tetapi alhamdulillah saya amat terkejut apabila diterima,” ujarnya.

Namun, di sebalik kejayaan Ahnaf Aiman melanjutkan pengajian ke UKM, tersimpan cerita yang penuh liku.

Ibunya telah meninggal dunia pada tahun 2020, diikuti bapa pada 2023.

Sejak itu, dia membesar bersama seorang kakak dan adik tanpa kedua-dua ibu bapa.

SELEPAS tamat alam persekolahan di Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Ainaf mendapat tawaran ke Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dan mengikuti pengajian di situ.

Keputusan cemerlang yang dicatatkan olehnya membolehkan dirinya menyambung pengajian di UKM.

Sebelum menjejakkan kaki ke kampus, dia yang berasal dari Kuala Lumpur sempat bekerja sementara sebagai ustaz di sebuah sekolah agama.

Itu semua dilakukan demi mengumpul wang sebagai persiapan kecil untuk menempuh dunia kampus di universiti.

Bagi Ahnaf Aiman, pendidikan bukan sekadar tiket untuk membina kerjaya yang baik pada masa hadapan, tetapi juga asas untuk membentuk insan yang berguna.

Perjalanan Ahnaf Aiman untuk menuntut ilmu juga dipermudahkan dan dia bersama dua orang lagi pelajar telah dipilih sebagai ‘pelajar angkat’ UKM dan mendapat biasiswa penuh sepanjang tempoh pengajian.

Seorang lagi ialah Muhammad Hazwan Harith Mohd. Yusof, 22. Pemuda dari Machang, Kelantan itu juga merupakan pelajar angkat UKM yang baru mendaftar masuk ke universiti tersebut.

Dia yang merupakan anak yatim piatu mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sains perubatan kecemasan.

Menurut Hazwan, dia gembira kerana berpeluang melanjutkan pelajaran ke UKM.

“Awalnya saya berdebar, sebab UKM ini universiti berprestij dan bidang perubatan memang susah nak masuk.

“Tetapi bila dapat keputusan diterima masuk, saya rasa sangat bangga.

“Alhamdulillah, segala pengorbanan arwah ibu dan ayah serta sokongan adik-beradik yang banyak memberi sokongan dari segi mental dan fizikal kepada saya akhirnya terbayar,” ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada lima adik-beradik.

Dia juga tidak menyangka bahawa pihak universiti sudi membantunya mengurangkan beban perbelanjaan pengajian. Malah, dia amat bersyukur kerana UKM menyediakan bantuan penuh sepanjang pengajiannya.

“Bila dapat bantuan penuh ni, saya lega, saya tidak perlu risau tentang kewangan.

UPNM mencatat sejarah menerima kemasukan pelajar tertinggi pada sesi pendaftaran terbaharu baru-baru ini.

“Jadi saya boleh fokus belajar dan cuba mengharumkan nama UKM sebagai tanda terima kasih atas sumbangan mereka,” katanya.

Baru-baru ini kehadiran pelajar baharu anak yatim piatu ke universiti turut menjadi tumpuan dan tular apabila seorang pelajar yatim piatu, Putera Iman Shah Shahiran, 19, datang bersendirian untuk mendaftar sebagai mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Dia telah disambut bagai keluarga oleh pihak UUM.

Kisah mengenai pemuda ini juga mendapat perhatian ramai termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang memberikan kata-kata semangat kepadanya menerusi panggilan video dan pihak UUM juga dilaporkan memberikan pengecualian yuran pengajian sepanjang pengajian kepadanya.

Sementara itu, sejak dua minggu lalu banyak universiti menerima kemasukan pelajar baharu dan mencatatkan pelbagai kisah.

UKM misalnya menerima seramai 4,078 pelajar baharu untuk program Ijazah Sarjana Muda bagi sesi akademik 2025/2026.

Naib Canselor UKM, Profesor Dr. Sufian Jusoh berkata, pada tahun ini, mereka menerima sebanyak 70,745 permohonan dengan 8,567 calon memilih UKM sebagai pilihan pertama melalui UPU.

Menurutnya, mereka menawarkan 5,629, sebanyak 4,078 telah bersetuju untuk mendaftar di UKM.

“Daripada jumlah kemasukan, 58.8 peratus pelajar adalah daripada keluarga berpendapatan rendah. Malah, kami juga menyediakan bantuan seperti Bantuan Jejak Pewaris Watan sebanyak RM1,200, Bakul Rahmah dan peralatan asrama untuk pelajar terpilih,” katanya.

Tambahnya, seramai 29 pelajar diberikan penangguhan bayaran yuran pendaftaran sementara menunggu bantuan pinjaman pendidikan seperti daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa atau zakat.

Pada sesi kali ini juga, UKM menawarkan biasiswa penuh kepada tiga pelajar yang memerlukan.

Sufian berkata, biasiswa itu ditawarkan kepada dua anak yatim piatu dan seorang pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Mereka ini menunjukkan kecekalan dan berusaha untuk melanjutkan pelajaran meskipun hidup dalam serba kekurangan.

“Kami terpanggil untuk membantu dengan memberikan kemudahan sepenuhnya sepanjang tempoh pengajian,” katanya.

Dalam pada itu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mencatatkan sejarah baharu apabila menerima seramai 1,590 pelajar Ijazah Sarjana Muda bagi sesi akademik 2025/2026, pengambilan tertinggi sejak universiti itu ditubuhkan pada 2006.

Jumlah itu, sekali gus menjadi simbol keyakinan generasi muda dan ibu bapa terhadap UPNM sebagai universiti pertahanan tunggal negara yang berfokus pada bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan.

Naib Canselor UPNM, Lt. Jen. Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad berkata, lonjakan angka ini bukan sekadar pertambahan kuantiti, tetapi manifestasi kepercayaan masyarakat bahawa UPNM adalah medan terbaik untuk membentuk jati diri, kepimpinan dan disiplin anak bangsa.

Bagi UUM pula mereka menerima kemasukan 4,549 pelajar baharu terdiri pelajar tempatan dan antarabangsa yang akan mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda bagi sesi 2025/2026.

Malah, seramai 18 pelajar baharu dari Uzbekistan di UUM membuka lembaran baharu buat mereka yang kini bersedia memulakan perjalanan akademik di kampus di utara tanah air itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN