SELAYANG – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) nyata sukar digugat dalam kancah bola sepak domestik apabila raih kemenangan selesa 7-0 ke atas PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, Arif Aiman Hanapi dan Jairo Da Silva menjadi pemain paling cemerlang buat Harimau Selatan, masing-masing menyumbangkan dua gol.
Terdahulu, JDT terpaksa menanti hingga ke minit ke-28 untuk membuka jaringan menerusi Arif Aiman sebelum tonggak utama Harimau Selatan itu menambah gol kedua, lima minit kemudian.
Aksi di separuh masa kedua menyaksikan permainan lebih bertenaga dipamerkan oleh pelawat hingga memperoleh tambahan lima lagi gol.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson Da Silva hanya memerlukan sembilan minit selepas aksi bersambung untuk merobek gawang tuan rumah buat kali ketiga.
Walaupun dilihat masih mengekalkan permainan positif, The Cops seakan tidak mampu lagi untuk mengekang asakan JDT yang memperoleh gol keempat daripada Eddy Israfilov pada minit ke-67.
Dua gol Jairo terhasil pada minit ke-77 dan 85 manakala pemain naturalisasi negara, Romel Morales yang dimasukan sebagai pemain gantian turut mencetak namanya selaku penjaring pada minit ke-83.
Dalam aksi sebelah petang di Stadium Negeri, Pulau Pinang, Selangor FC meraih kemenangan 3-1 ke atas Imigresen FC. – KOSMO! ONLINE