fbpx
MENURUT Mohd. Uzair, punca utama pendaratan penyu belimbing terhenti di Rantau Abang adalah pengambilan telur tanpa kawalan oleh manusia pada era 1960-an hingga 1980-an.

Hilang ikon penyu belimbing, Rantau Abang sepi pengunjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU Abang, Dungun, Terengganu pasca kegemilangan penyu belimbing tidak lagi semeriah dahulu. Jika suatu ketika pada era 1960-an hingga 1980-an, banyak spesies penyu tersebut mendarat saban malam di sepanjang tujuh kilometer pantai untuk bertelur, kini suasana itu hanya tinggal sejarah.

Sewaktu zaman kegemilangannya, Rantau Abang bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Terengganu malah turut menarik perhatian penulis antarabangsa termasuk pengarang novel terkenal Jurassic Park, Michael Crichton yang menulis tentang pengalaman menyaksikan penyu belimbing di pantai itu pada era 1980-an.

Begitupun, selepas pendaratan terakhir direkodkan pada tahun 2017, Rantau Abang hanya dikenang melalui nostalgia sementara usaha konservasi kini tertumpu kepada spesies-spesies penyu lain seperti agar.

Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI dan jurugambar, PUQTRA HAIRRY ROSLI bersama Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli, bagi mengupas isu tersebut dengan lebih lanjut.

KOSMO! AHAD: Rantau Abang pernah menjadi tumpuan dunia kerana penyu belimbing singgah bertelur. Bagaimana keadaannya hari ini?

MOHD. UZAIR: Hari ini, Rantau Abang tidak lagi menyaksikan pendaratan penyu belimbing. Pendaratan terakhir direkodkan pada tahun 2017 tetapi lebih malang apabila telur terbabit tidak menetas kerana tidak dise­nyawakan.

Dari segi saintifik, ini bermakna populasi jantan sudah tidak mencukupi untuk menyokong pembiakan.

Keadaan ini menandakan penyu belimbing di Terengganu sudah mengalami functionally extinction atau kepupusan secara fungsi.

Ia masih terdapat di laut de­ngan sesekali dilaporkan dilihat berenang di perairan negeri ini, tetapi bilangan mereka sudah tidak mampu lagi menjalankan fungsi ekologinya seperti naik ke darat untuk bertelur.

Tanpa pendaratan, kitaran hidup mereka di rantau ini boleh dikatakan sudah terhenti.

KALI terakhir penyu belimbing mendarat di Pantai Rantau Abang pada tahun 2017.

Mengapa pendaratan penyu belimbing di Rantau Abang terhenti?
Punca utamanya ialah aktiviti manusia. Pada era 1960-an hingga 1980-an, pengambilan telur penyu berleluasa tanpa kawalan. Setiap musim bertelur, puluhan ribuan telur dikutip sehingga generasi baharu tidak sempat matang.

Ditambah pula dengan pencemaran laut, pembangunan pesisir yang tidak terkawal serta penggunaan pukat tunda menjadikan populasi penyu belim­bing semakin merosot.

Selain itu, faktor pemahaman saintifik yang masih terhad di seluruh dunia turut memainkan peranan. Natijahnya, usaha awal konservasi banyak menghasilkan anak penyu betina kerana tidak menyedari jantina boleh ditentukan oleh suhu pengeraman.

Kini bilangan penyu jantan terlalu sedikit untuk menampung kelangsungan populasi
spesies ini.

Adakah masih ada harapan penyu belimbing kembali ke Rantau Abang?
Harapan itu terlalu tipis. Penyu merupakan haiwan ber­migrasi yang sangat setia pada lokasi asal ia menetas.

Untuk subpopulasi di Laut China Selatan, satu-satunya lokasi bertelur ialah Rantau Abang, apabila pendaratan terhenti sejak tahun 2017, maka kitaran itu sudah terputus.

Ada cadangan membawa ma­suk telur dari luar negara tetapi ia bukan mudah. Ia memerlukan kerjasama antarabangsa, kawalan ketat malah tiada jaminan anak penyu akan kembali.

Tambahan pula, penyu belimbing sangat liar berbanding penyu agar.

Jika dikurung atau diternak, kebarangkalian untuk hidup amat rendah.

Apa yang boleh kita pelajari daripada berakhirnya era penyu belimbing di Rantau Abang supaya sejarah sama tidak berulang kepada spesies lain?
Pengajaran paling besar ialah kita tidak boleh bertangguh dalam usaha konservasi apabila tindakan komprehensif hanya bermula lewat 1970-an, ia sudah terlalu lambat untuk menyelamatkan penyu belimbing.

Sains ketika itu juga masih terhad, kita hanya fokus pada bila­ngan telur menetas tanpa memahami faktor penentuan jantina ketika pengeraman.

Kesannya, populasi jantan merosot sehingga spesies ini pupus secara fungsi ketika ini.

Hari ini, kita mesti memastikan usaha saintifik bergerak le­bih cepat daripada kadar kepupusan. Kalau tidak, sejarah penyu belimbing boleh berulang pada ­spesies lain.

RANTAU Abang pernah sinonim dengan penyu belimbing sehingga tahun 1980-an.

Apakah kesan ketiadaan penyu belimbing terhadap masyarakat dan imej Rantau Abang sebagai destinasi ikonik dahulu?
Ada rasa kecewa dan trauma kerana kehilangan ikon yang suatu ketika dahulu yang membawa pelancong dari seluruh dunia ke Rantau Abang.

Bahkan penulis antarabangsa seperti Michael Crichton pernah menulis tentang kerisauan beliau melihat aktiviti pelancongan tidak terkawal di Dungun pada era 1980-an.

Begitupun, kita tidak boleh hanya meratap, yang penting menjadikan pengalaman pahit itu sebagai pengajaran untuk memelihara spesies lain.

Kita perlu bijak mengimbangi sektor pelancongan berasaskan penyu dengan usaha pemuliharaan agar tidak mengulangi kesilapan lalu.

Ini bermakna, kita wajar bijak mengimbangi sumber yang ada ketika ini untuk pembangunan pemahaman sains dan juga pembangunan produk-produk pelancongan beretika berasaskan pe­ngalaman bersama penyu.

Selepas hampir sedekad tidak mendarat, adakah wajar kita menganggap penyu belimbing sudah tidak lagi wujud di Terengganu?
Secara saintifik, ia belum pups sepenuhnya, tetapi sudah pupus secara fungsi. Maksudnya, ia tidak lagi mampu menyumbang kepada populasi baharu. Jika trend ini berterusan, tidak mustahil ia akan pupus sepenuhnya suatu hari nanti.

Yang tinggal hanyalah sejarah dan kenangan tentang kegemilangan Rantau Abang sebagai pusat pendaratan penyu belimbing terbesar dunia.

Inilah yang saya anggap sebagai ‘tragedi ekologi’ negeri Terengganu.

Pasca kepupusan fungsi penyu belimbing, apakah spesies penyu yang masih bertelur di Terengganu dan bagaimana trend populasinya?
Sekarang tumpuan kita lebih kepada penyu agar yang sedang melalui fasa pemulihan positif.

Usaha konservasi sejak 1980-an akhirnya membuahkan hasil apabila bilangan persarangan penyu agar semakin meningkat terutama di Pulau Redang, Setiu, Dungun, Kemaman dan Pulau Perhentian.

Selain itu, ada juga penyu lipas dan penyu karah namun bila­ngannya kecil.

Penyu karah misalnya di Pulau Redang kadang-kadang tidak sampai lima ekor setahun yang mendarat.

Ia membimbangkan kerana ancaman habitat dan pencemaran semakin meningkat di kawasan tumpuan pelancongan utama.

PANTAI Rantau Abang kini sepi tanpa kehadiran penyu belimbing.

Bagaimana trend pendaratan penyu secara keseluruhan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun terakhir?
Secara keseluruhan, pola pendaratan penyu di Terengganu agak stabil malah menunjukkan peningkatan bagi penyu agar.

Ini bukti usaha konservasi di dekad terdahulu sudah mula membuahkan hasil.

Walaupun kita gagal menyelamatkan penyu belimbing, sekurang-kurangnya kita berjaya memulihkan spesies lain. Yang tinggal ini merupakan harapan kita bersama.

Begitupun, kita tidak boleh terlalu selesa. Ancaman baharu seperti pencemaran plastik, pemanasan global, pencerobohan nelayan asing, pembangunan pantai dan pelancongan tidak terkawal boleh menjejaskan po­pulasi sedia ada.

Usaha memelihara penyu ini mesti sentiasa mendahului ancaman melalui penyelidikan dan dasar yang kukuh.

Ancaman terbesar apa yang penyu hadapi hari ini?
Antara ancaman paling besar ialah pencemaran plastik yang disangka penyu sebagai ubur-ubur. Ia boleh menyebabkan kematian apabila termakan.

Selain itu, pukat tunda dan kipas bot sering mencederakan penyu sehingga cedera atau mati.

Kecurian telur pula walaupun berkurangan selepas pengharaman penuh melalui pindaan Enakmen Penyu Terengganu (1951) pada tahun 2021, masih berlaku dalam skala kecil.

Ancaman-ancaman ini jika tidak ditangani secara bersepadu boleh menjejaskan kejayaan konservasi yang sudah kita capai.

Bagaimana UMT memainkan peranan dalam kelesta­rian penyu?
UMT sudah lebih empat dekad menjalankan penyelidikan saintifik mengenai penyu.

Kami bukan sahaja mengurus data lapangan tetapi juga mendidik masyarakat melalui program sukarelawan dan kerjasama dengan pusat peranginan untuk program edutourism.

Tujuannya membina empati, apabila orang ramai berpeluang mendekati penyu, kesedaran itu lebih mendalam.

Kami juga bekerjasama de­ngan kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan dalam membentuk dasar serta prosedur operasi standard pelancongan berasaskan penyu.

Peranan kami ialah memastikan keseimbangan antara tarikan pelancongan dan pemuliharaan supaya penyu terus kekal di Terengganu.

Apakah pesanan kepada orang ramai agar tidak me­ngulangi kesilapan yang pernah berlaku kepada penyu belimbing?
Mesej saya ringkas, jangan tunggu pupus baru mahu hargai.

Penyu belimbing sudah terlepas daripada genggaman kita tetapi kita masih ada penyu agar, karah dan lipas yang boleh ­diselamatkan.

Kuncinya ialah pelaburan dalam sains dan pendidikan ke­sedaran masyarakat.

Usaha mendekati masyarakat seperti pelepasan anak penyu tidak wajar dijadikan sebagai simbolik semata-mata.

Pelancongan berasaskan pengalaman wajar dijadikan medium untuk mendidik.

Kita juga perlukan usaha kolektif pelbagai pihak bermula dengan dasar berasaskan bukti saintifik, diikuti kesungguhan berterusan sekiranya mahu memastikan penyu terus wujud untuk generasi akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN