MELAKA – Seorang lelaki warga Mesir direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas disyaki memukul, mencekik dan mengugut bunuh isterinya, yang juga cucu kerabat diraja dalam kejadian di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, semalam.
Perintah reman terhadap suspek berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret N. Sivashangari bermula hari ini hingga 8 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi selepas wanita berusia 57 tahun itu menemui kotak rokok di bawah bantal suaminya yang mengandungi tiub kaca dan bahan dipercayai dadah jenis ganja serta syabu sebelum mengambilnya.
“Apabila mendapati bahan itu hilang, lelaki tersebut menjadi marah dan berlaku pergaduhan antara mereka berdua.
“Ketika bertengkar, suspek dikatakan menekup muka isterinya dengan bantal dan mencekik leher mangsa yang juga ahli perniagaan hartanah di Selangor,” katanya.
Menurut sumber, suspek kemudian memaksa pengadu untuk menyerahkan semula dadah berkenaan dan menjumpai bahan terlarang itu di dalam beg tangan isterinya lalu keluar meninggalkan hotel berkenaan.
Tambah sumber, suspek telah pulang semula ke hotel kira-kira pukul 11.30 pagi dan terus membalut hirisan daun kering tersebut serta menghisapnya sambil meneguk minuman keras di hadapan wanita tersebut.
“Tidak lama selepas itu, pertengkaran berulang dan suspek menampar pipi isterinya serta memukul perut mangsa beberapa kali.
“Malah lelaki berkenaan turut mengangka wanita tersebut ke arah balkoni seolah-olah mahu menolak ke bawah sebelum mengugut akan membunuhnya,” tambah sumber itu. – KOSMO! ONLINE