JAKARTA – Seorang pencipta kandungan warga India berdepan situasi memalukan apabila lamarannya ditolak oleh seorang wanita selepas dia sanggup terbang sejauh 5,000 kilometer ke Indonesia, lapor portal berita Must Share News.
Kejadian berlaku di wilayah Banten pada 28 September lalu.
Rakaman video dimuat naik di platform X oleh akaun @Zardsi menunjukkan lelaki terbabit cuba melamar dengan seorang wanita dikenali sebagai Rumsyah menggunakan bahasa Inggeris.
Disebabkan Rumsyah tidak fasih berbahasa Inggeris, dia terpaksa menggunakan aplikasi terjemahan untuk menanyakan soalan.
“Sudikah anda berkahwin dengan saya?” tanya lelaki itu di dalam video.
Rumsyah bagaimanapun membalas ‘tidak’ sambil melambai tangannya sebagai isyarat menolak lamaran tersebut.
Difahamkan, lelaki itu telah berinteraksi dengan Rumsyah selama beberapa bulan secara online.
Rumsyah kemudian memberitahu bahawa penolakan itu disebabkan oleh perbezaan budaya kerana dia memilih untuk berkahwin dengan lelaki sukunya sendiri. – AGENSI