KABUL – Perkhidmatan internet dan telefon bimbit pulih di Afghanistan selepas terputus secara tiba-tiba selama 48 jam, lapor portal berita Independent semalam.
Perkhidmatan telefon daripada dua penyedia terbesar, Roshan dan Etisalat yang kedua-duanya dimiliki oleh syarikat asing, dipulihkan petang kelmarin, demikian menurut penduduk Kabul.
Perkhidmatan internet yang terputus di seluruh Afghanistan pada Isnin lalu turut berjaya dipulihkan.
Gangguan komunikasi itu menjejaskan siaran televisyen satelit dan operasi penerbangan dengan sekurang-kurangnya lima penerbangan yang dijadualkan tiba atau berlepas dari lapangan terbang Kabul dibatalkan.
Ia juga menjejaskan operasi perbankan dengan penghantaran wang dan perdagangan dengan negara jiran lumpuh.
Pihak Taliban menafikan memutuskan internet di seluruh negara dengan alasan masalah itu berpunca daripada infrastruktur gentian optik yang rosak.
Gangguan itu mula dilaporkan oleh organisasi pemantau internet, NetBlocks.
Ia mendakwa bahawa Afghanistan kini berada dalam keadaan pemadaman internet sepenuhnya apabila pihak berkuasa Taliban bergerak melaksanakan langkah moral dengan pelbagai rangkaian diputuskan secara berperingkat sepanjang hari.
Namun, kerajaan Taliban menolak laporan mengenai larangan tersebut sebagai satu bentuk khabar angin dan menyatakan, pihaknya sedang berusaha menggantikan infrastruktur jalur lebar lama.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyeru agar sambungan internet dipulihkan, dengan mengatakan, insiden itu hampir sepenuhnya memutuskan Afghanistan daripada dunia luar. – AGENSI