fbpx
DE KLEIJN (tengah) meraikan kemenangan selepas menjuarai peringkat keenam dari Shah Alam ke Port Dickson hari ini. - MOHAMAD IQBAL ROSLI

LTdL 2025: Peringkat keenam milik De Kleijn

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Pelumba pasukan Tudor Pro Cycling, Arvid de Kleijn memanfaatkan ketiadaan penyandang Raja Pecut, Matteo Malucelli bagi memenangi perlumbaan peringkat keenam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 hari ini.

Pada perlumbaan dari Shah Alam ke Port Dickson dengan jarak sejauh 123.5 kilometer (km) itu, De Kleijn memastikan kemenangan menjadi miliknya selepas melintasi garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 32 minit 55 saat (s).

Pelumba Belanda itu berkata, perlumbaan semalam bukan sesuatu yang mudah kerana mereka terpaksa berkayuh dalam keadaan hujan lebat sehingga ada beberapa pelumba terlibat dalam kemalangan.

“Keadaan jalan pada hari ini sangat basah tetapi sebenarnya, ia baik sahaja. Anda pun tahu, memang sentiasa sukar dengan keadaan sebegini tetapi agak bagus juga kerana cuaca panas.

“Peringkat ini boleh dikatakan agak kelam-kabut tetapi ia memang sudah dijangka. Kami berjaya mengawal perlumbaan dan menang, jadi ia merupakan hari yang sangat sempurna untuk kami,” katanya.

Terdahulu, pencabar terdekat De Kleijn, Matteo Malucelli dari pasukan XDS Astana gagal menamatkan perlumbaan peringkat keenam hari ini apabila terlibat dalam kemalangan di kilometer 16.5.

Walaupun peluang untuk dia mencabar jersi oren selaku Raja Pecut lebih cerah dengan ketiadaan Malucelli, namun De Kleijn menyuarakan rasa terkilan kerana tidak dapat meneruskan saingan bersama pelumba Itali itu.

“Amat malang sekali Matteo Malucelli terlibat dalam kemalangan dan ia sangat menyedihkan. Saya teringin untuk terus bersaing dengannya tetapi apa boleh buat, semoga dia cepat sembuh,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Selepas perlumbaan hari ini, De Kleijn kini berada di tangga kedua dalam perebutan jersi oren dengan mengumpul 42 mata, tiga mata di belakang pelumba Uno-X Mobility, Erlend Blikra. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI