fbpx
Ahmad Hafiyyan membayar petrol RON95 menggunakan inisiatif Budi95 di sebuah stesen minyak di Tok Jamal, Kuala Terengganu semalam.

Warga asing patut bayar lebih RM2.60

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Sebahagian pengguna mencadangkan agar harga petrol RON95 untuk warga asing haruslah lebih tinggi daripada RM2.60 seliter yang ditetapkan sekarang demi keadilan buat rakyat tempatan.

Mereka merasa tidak adil sekiranya bukan warga negara membayar bahan api dengan harga sama dikenakan rakyat tempatan yang telah melepasi kuota 300 liter sebulan.

Seorang pengguna, Ahmad Hafiyyan Samsuddin, 36, berkata, secara dasarnya, dia memahami keputusan kerajaan menetapkan tahap siling 300 liter sebulan buat rakyat tempatan tetapi harganya tidak harus sama dengan warga asing.

“Tidak patut rasanya warga asing membayar harga sama RM2.60 seliter dengan kita yang telah melepasi kuota bulanan 300 liter.

“Lebih baik kerajaan tetapkan kadar harga berbeza yang lebih tinggi kepada warga asing sesuai dengan matlamat mengutamakan rakyat tempatan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sebuah stesen minyak di sini semalam.

Inisiatif Budi95 yang dilancarkan kerajaan kelmarin menetapkan harga petrol RON95 RM1.99 seliter dengan kuota 300 liter sebulan bagi warga negara manakala tanpa subsidi pula berharga RM2.60 seliter.

Nur Aireen Shauqina Syauqi, 27, pula berkata, kadar harga petrol RON95 RM2.60 seliter tanpa subsidi sebenarnya masih antara termurah di rantau Asia Tenggara.

Katanya, sebagai perbandingan petrol jenis sama berharga RM9.59 seliter di Singapura, Thailand (RM5.60) dan Indonesia (RM3.77).

“Kalau kerajaan tetapkan sekurang-kurangnya RM3 seliter bagi petrol RON95 untuk pengguna warga asing, ia masih lebih murah berbanding negara asal masing-masing.

“Ia juga mampu membantu sasaran mengurangkan aktiviti penyeludupan petrol ke luar yang didalangi warga asing,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Syaz­wan Nazri Ahmad, 30, pula berharap kerajaan mencari meka­nisme agar harga RON95 buat rakyat tempatan yang melepasi kouta 300 liter sebulan lebih rendah daripada dikenakan terhadap warga asing.

“Misalnya rakyat tempatan yang telah terlebih kuota bulanan perlu membayar RON95 pada harga RM2.05 seliter, manakala warga asing tetap dengan tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN