BERDASARKAN penerbitan Jadual Hayat Ringkas, Malaysia, 2023-2025 oleh Jabatan Perangkaan Selasa lalu, bayi perempuan yang dilahirkan tahun ini dijangka akan hidup 4.8 tahun lebih lama berbanding bayi lelaki.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, seorang bayi yang lahir pada 2025 secara purata dijangka hidup sehingga 75.3 tahun.
“Secara purata, seorang bayi perempuan dijangka boleh hidup sehingga 77.9 tahun, berbanding bayi lelaki pada 73.1 tahun,” katanya.
Terdapat pelbagai faktor kenapa lelaki secara konsisten mencatatkan jangka hayat yang lebih rendah, yang mana fenomena ini bukan sahaja berlaku di negara membangun, malah jelas kelihatan di negara maju dengan sistem kesihatan canggih.
Ada kajian yang mendapati hormon estrogen pada wanita memberi perlindungan semula jadi kepada sistem kardiovaskular, manakala lelaki kurang menikmati perlindungan ini.
Penyakit kardiovaskular menjadi punca kematian utama dalam kalangan lelaki di negara ini, mencatatkan sebanyak 34.9 peratus pada tahun 2021 menurut Kementerian Kesihatan, diikuti oleh kanser (13.5 peratus) dan penyakit paru-paru kronik (4.7 peratus).
Pada masa sama, faktor gaya hidup dilihat memainkan peranan lebih besar. Lelaki lebih cenderung mengamalkan tabiat berisiko tinggi seperti merokok, pemakanan tidak sihat serta kurang menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
Di samping itu, pekerjaan yang melibatkan risiko fizikal tinggi, seperti industri pembinaan, perkilangan atau pengangkutan, lebih banyak diceburi lelaki.
Malaysia antara negara yang mempunyai Pelan Tindakan Kesihatan Lelaki Kebangsaan (2019-2023).
Antara fokus utama yang digariskan dalam pelan tersebut adalah penyakit pembengkakan kelenjar prostat, kanser prostat, disfungsi erektil, kesihatan mental, faktor risiko penyakit kardiovaskular serta kemalangan atau trauma kenderaan bermotor.
Menurut Pakar Perubatan Keluarga, Unit Klinikal, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Wan Mohd. Nazlee Wan Zainon, kaum lelaki jarang menjaga kesihatan dan tidak mengesan penyakit pada peringkat awal.
“Orang lelaki kebiasaannya dianggap maskulin dan tahan lasak. Selalunya mereka tidak peduli tentang sakit yang mereka alami kerana mahu dianggap jantan dan kebanyakan mereka hanya datang ke hospital setelah mengalami masalah kesihatan yang teruk seperti sakit jantung ataupun strok.
“Kaum lelaki juga didapati lebih ramai mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, menghisap vape, serta sering terlibat dengan aktiviti yang berbahaya seperti lumba haram dan sebagainya.
“Hal ini menyumbang kepada peningkatan jumlah pesakit dan jumlah kematian dalam kalangan kaum lelaki,” katanya.
Beliau menyarankan kaum lelaki supaya membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali dan menghapuskan stigma lelaki lemah dalam meminta atau mendapatkan bantuan.














