fbpx
Gambar menunjukkan bangunan Capitol AS di Washington, DC pada hari pertama penutupan kerajaan AS semalam. - AFP 

Kerajaan Amerika dijangka tutup sehingga esok 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Ahli-ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) gagal memecahkan kebuntuan berhubung isu belanjawan semasa rundingan yang berlangsung tegang semalam, lapor saluran berita CNN. 

Penutupan kerajaan itu dijangka berterusan sehingga sekurang-kurangnya esok, namun ramai percaya ia akan berlarutan lebih lama. 

White House meningkatkan tekanan terhadap barisan wakil rakyat Parti Demokrat untuk beralah dengan Presiden Donald Trump memberi amaran kepada Kongres bahawa pemecatan secara besar-besaran akan berkuat kuasa dalam tempoh dua hari lagi.

Pengarah Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB), Russ Vought memberitahu para senator bahawa pemecatan itu akan menyasarkan agensi-agensi yang tidak sesuai dengan keutamaan pentadbiran Trump. 

Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin Demokrat tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berundur dalam isu penutupan tersebut. 

Majoriti wakil rakyat Demokrat termasuk Ketua Minoriti Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries mengkritik ancaman pemberhentian kakitangan secara besar-besaran itu sambil menambah, White House telah mengurangkan tenaga kerja persekutuan.

“Ini adalah pentadbiran pembunuh pekerjaan. Jadi semua perbincangan yang kita lihat sekarang seolah-olah berkait dengan penutupan yang disebabkan oleh Parti Republikan. Itu adalah ideologi mereka. Kekejaman adalah tujuannya,” kata Jeffries. 

Selain ugutan pemecatan tersebut, Vought menyatakan, White House menahan peruntukan AS$18 bilion (RM75 bilion) untuk projek infrastruktur kritikal di Bandar Raya New York dalam usaha memberi tekanan kepada dua ahli Kongres, yang kedua-dua mereka mewakili negeri tersebut. 

Krisis itu berlaku selepas barisan wakil rakyat Parti Demokrat enggang menyokong rang-rang undang-undang kesihatan yang dicadangkan pentadbiran Trump yang dianggap akan menyebabkan lebih ramai rakyat AS tidak mampu mendapatkan penjagaan kesihatan. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI