MELAKA – Setiap masjid dan surau di negeri ini diseru untuk melaksanakan bacaan Doa Qunut Nazilah pada rakaat terakhir solat Jumaat bermula esok.
Mufti Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, pelaksanaan doa itu juga digalakkan untuk diperluaskan ke dalam solat fardu sebagai kecaman terhadap tindakan gangguan ke atas konvoi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF).
Ujarnya, ia juga bagi memohon keselamatan sukarelawan GSF yang kini dalam perjalanan melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza serta kesejahteraan rakyat Palestin.
“Tujuannya bagi memohon keselamatan, perlindungan dan pembebasan kepada para sukarelawan GSF khususnya rakyat Malaysia yang terlibat.
“Selain itu, ia juga bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut mengajak umat Islam agar bersatu hati mendoakan misi kemanusiaan itu berjalan lancar serta para sukarelawan dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang baik.
“Semoga usaha murni ini mendapat rahmat dan pertolongan Allah SWT,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE