fbpx
Tunku Nashrul.

Tolak kehadiran Trump tidak selesaikan isu Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menolak kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan bukan jalan penyelesaian kepada isu Palestin.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, prinsip diplomasi menuntut Malaysia untuk menyuarakan kebenaran secara berdepan, bukan mengelak.

Kata beliau, dengan cara itu Malaysia bukan sahaja menzahirkan solidariti kepada Gaza, tetapi menunjukkan kebijaksanaan sebagai tuan rumah yang berani, tegas dalam prinsip dan matang dalam diplomasi.

Ujar beliau, pada masa sama, Malaysia membawa suara ASEAN supaya sidang kemuncak kali ini tidak hanya tertumpu kepada isu geopolitik semata-mata.

“Tetapi lebih kepada agenda bersama memperkukuh kerjasama ekonomi, menarik pelaburan strategik, memperluas perdagangan serta mempercepat integrasi rantau ini sebagai kuasa ekonomi dunia.

“ASEAN mesti bersuara dengan satu nada, memanfaatkan peluang dengan semua rakan dialog, bukan sahaja AS, tetapi juga China, Jepun, Korea, Australia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Inilah kepimpinan Malaysia tawarkan.

“Kepimpinan menegakkan prinsip keadilan sejagat, terus istiqamah membela Palestin dan pada masa sama memikul tanggungjawab besar sebagai pengerusi ASEAN untuk membina rantau yang makmur, stabil dan sejahtera,” katanya semasa taklimat harian Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Tunku Nashrul berkata, Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum pandangan beberapa pihak termasuk tokoh politik menuntut jemputan kepada Trump ditarik balik atas dasar pandangannya terhadap isu Palestin.

Bagaimanapun, kata beliau, kehadiran Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 sebahagian daripada mandat diplomasi yang diamanahkan kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.

Jelas beliau, ia juga bukan soal pengiktirafan terhadap dasar peribadi mana-mana pemimpin, tetapi suatu pengiktirafan kepada ASEAN dan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi.

“Pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak pernah berubah. Ia jelas, tegas, dan konsisten sejak dahulu. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) antara suara paling lantang di dunia membela Gaza, mengecam kekejaman Israel dan mengetuai suara moral umat Islam di pentas antarabangsa.

“Bahkan pandangan tegas ini telah disuarakan sendiri oleh Perdana Menteri di hadapan bekas Presiden AS (Joe Biden) sebelum ini,” katanya.

Justeru, katanya, Kerajaan Madani akan memastikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur menjadi bukti bahawa Malaysia mampu memimpin dengan hikmah.

“Lantang membela yang tertindas, cekal memperjuangkan kepentingan rakyat dan bijaksana mengimbangi diplomasi global,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI