IPOH – Suspek kes bunuh seorang wanita warga Myanmar di sebuah rumah teres satu tingkat di Kampung Kuala Kuang, Chemor, di sini semalam, direman lima hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan terhadap suspek yang juga teman lelaki mangsa itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Tangkapan ke atas suspek warga Myanmar berusia 37 tahun itu dijalankan selepas pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan cekik pada lehernya.
“Berdasarkan keputusan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), punca kematian mangsa ialah kecederaan pada bahagian leher akibat dicekik,” katanya di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan, seorang wanita berusia 28 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakannya di sebuah rumah di Kampung Kuala Kuang, Chemor pada pukul 12.30 tengah hari.
Pemeriksaan pada mayat wanita itu menemui kesan cekik di leher namun tiada kecederaan lain dikesan pada tubuh mangsa.
Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek di mana lelaki terbabit dikatakan tidak berpuas hati kerana kerap dimarahi oleh mangsa. – KOSMO! ONLINE