fbpx
Sebahagian golongan muda termasuk remaja yang ditahan selepas disyaki positif dadah dalam Ops Merdeka di Bukit Kayu Hitam baru-baru ini.

Sisi gelap percutian pendek Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Anak-anak muda seawal belasan tahun kini menjadikan selatan Thailand terutama Danok dan Hatyai sebagai tempat untuk berhibur, meng­ambil alkohol dan dadah berikutan kewujudan pelbagai premis hiburan yang ditawarkan di negara itu.

Kos perjalanan dan penginapan rendah, kewujudan pelbagai jenis dadah murah, puluhan pusat hiburan dan akses ke sempadan yang dekat menja­dikan dua lokasi itu sebagai tumpuan rakyat Malaysia pada hujung ming­gu dan cuti panjang.

Kebebasan yang ditawarkan termasuk aktiviti pelacuran, rumah urut, disko dan pelbagai hiburan yang kebanyakan dila­rang di negara ini menjadikan dua bandar sempadan ni ‘syurga’ hiburan golongan tua dan muda.

Perangkaan menunjukkan ratusan ribu pelawat menyeberang ke sempadan di utara Semenanjung walaupun sebahagian besar pelawat juga menggunakan peluang ke dua bandar itu untuk menikmati makanan lazat dan melawat tempat menarik.

Pakar Kriminologi, Dr. Zalmizy Hussin berkata, aktiviti di bandar itu membolehkan rakyat negara ini terbabit dalam penyalahgunaan dadah, pengambilan alkohol, keganasan selain terdedah kepada eksploitasi oleh sindiket.

“Risiko paling nyata adalah pendedahan kepada dadah rekreasi seperti pil khayal, ketamin atau rokok campuran yang ditawarkan di pusat hiburan. Ada remaja yang mendakwa sekadar kongsi rokok akhirnya didapati positif dadah.

“Alkohol juga mudah diperoleh tanpa kawalan usia, menjadikan mereka mudah mabuk, hilang pertimbangan dan terbabit dalam pergaduhan atau menjadi mangsa jenayah jalanan,” ­katanya kepada Kosmo! di sini.

Zalmizy berkata, sekiranya tidak dibendung dikhuatiri ada remaja dieksploitasi sindiket di negara jiran untuk menjadi penghantar dadah.

“Dalam keadaan mabuk atau terpengaruh dengan rakan, mereka mudah menjadi sasaran kerana kurang kawalan diri dan gagal membuat keputusan secara rasional.

“Risiko lain adalah pelacuran bawah umur, pemerasan oleh sindiket tempatan atau ditipu,” katanya.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah sebelum ini melaporkan lebih 30 individu yang pulang dari Thailand sempena cuti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia didapati positif dadah dalam operasi di Bukit Kayu Hitam.

Mereka yang ditahan berusia 17 hingga 40 tahun termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Katanya, jarak Hatyai dan Danok dengan negara ini menjadikan dua pekan itu ‘taman permainan’ alternatif untuk anak muda terutama dari negeri-ne­geri utara Semenanjung.

“Di sana, mereka ‘disajikan’ dengan kelab malam, bar, konsert mini, persembahan live band dan aktiviti pelacuran. Kos hiburan di sana lebih murah berbanding di Malaysia,” katanya.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia itu, budaya keterbukaan hiburan di Thailand mencipta gambaran belia diberi kebebasan mutlak tanpa perlu bimbang tentang norma sosial atau pengawasan keluarga.

“Lebih membimbangkan, trend gaya hidup ini digerakkan pula oleh pengaruh media sosial yang mempromosikan ‘short trip’ ke Thailand sebagai pengalaman menyeronokkan,” katanya.

Video pendek ‘short trip’ Hatyai yang tular di TikTok atau Instagram dengan paparan harga makanan murah, konsert mini, kelab malam dan suasana bebas memberi gambaran ia gaya hidup glamor yang mesti dirasai.

“Tontonan berulang kali ini mencetuskan fenomena social modelling iaitu apa yang mereka lihat dianggap normal dan cool.

“Ia ditambah budaya fear of missing out (FOMO) yang membuatkan remaja merasakan jika tidak ikut serta, mereka akan ketinggalan,” katanya, sambil menambah remaja terdedah kepada kegiatan bahan campuran, pil khayal atau alkohol.

Katanya, AADK membuktikan realiti ini apabila beberapa pelajar sekolah positif dadah selepas berhibur di Thailand, sekali gus mendedahkan sisi gelap di sebalik percutian singkat yang kelihatan menyeronokkan.

Zalmizy berkata, trend orang muda ke negara jiran tidak boleh dilihat sebagai masalah ‘individu nakal’, tetapi cerminan jurang kawalan sosial dan dasar yang perlu diberi perhatian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN