Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), anak Syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembangunan Malaysia (CIDB) menyasarkan untuk memperkukuhkan peranannya sebagai pusat sehenti pengurusan tenaga kerja asing dalam sektor pembinaan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Bagi tujuan meningkatkan daya saing industri, pihak tersebut sedang aktif meningkatkan kesedaran tentang pentingnya peranan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) kerana melalui sijil tersebut, ia dapat melahirkan tenaga kerja yang mampu menyumbang bakti kepada pembangunan sesebuah projek.
Dalam satu temu bual bersama Ketua Pegawai Eksekutif CLAB, Datuk Abdul Rafik Abdul Rajis baru-baru ini, beliau menerangkan bahawa pihaknya berperanan penting dalam memastikan industri pembinaan berjalan lancar dan berkesan dari segi tenaga kerja, sekali gus menyokong inisiatif nasional bagi memperkukuh sistem pengurusan tenaga kerja dan keselamatan di tapak binaan di Malaysia.
“SKKP membuktikan Malaysia serius dalam melahirkan tenaga kerja binaan berkemahiran tinggi, tanpa mengira warga negara. Langkah ini dilihat sebagai satu strategi jangka panjang untuk mengangkat reputasi industri pembinaan tempatan ke tahap antarabangsa.
“Dengan adanya SKKP, pekerja binaan asing bukan sahaja dilihat sebagai tenaga tambahan, malah sebagai aset penting yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara dengan kemahiran yang diiktiraf,” jelas Abdul Rafik.
KOSMO!: Apakah inisiatif terkini bagi memastikan kemahiran dalam kalangan pekerja binaan asing?
ABDUL RAFIK: CLAB sedang aktif dalam memastikan setiap pekerja binaan asing memiliki SKKP iaitu sijil rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kepada pekerja yang telah terbukti mahir dalam sesuatu kemahiran pembinaan.
Program ini merupakan satu langkah strategik dalam memastikan pekerja asing yang berkhidmat di tapak pembinaan mempunyai tahap kemahiran yang sah, sekali gus memartabatkan peranan CIDB di bawah Akta 520 Lembaga Pembangunan Industri serta memperkukuh ekosistem tenaga kerja mahir negara.
Apakah peranan CLAB dalam pengurusan akreditasi?
Sebagai organisasi pengurusan pekerja asing, kami bertindak untuk memastikan pekerja asing bekerja secara sah dan kompeten dalam sektor pembinaan negara.
CLAB telah dilantik oleh CIDB berperanan sebagai pelaksana untuk menyelaraskan proses permohonan serta mengatur tarikh penilaian di Akademi Binaan Malaysia (ABM) sehingga cetakan sijil SKKP dikeluarkan.
Mengapa menjadi satu keperluan kepada pekerja binaan asing perlu melalui penilaian kompetensi kemahiran dan memiliki SKKP?
Program penilaian kompetensi kemahiran dilaksanakan selaras dengan keperluan untuk memastikan kompetensi pekerja binaan asing akan dinilai dan diakreditasi untuk memperakukan mereka sebagai pekerja binaan yang kompeten dan melayakkan mereka melaksanakan kerja-kerja mahir di dalam industri pembinaan berdasarkan bidang kemahiran masing-masing.
Apakah bidang kemahiran yang akan diiktiraf melalui SKKP?
CLAB memfokuskan kepada enam kategori merangkumi bidang pembinaan seperti pertukangan kayu (formwork), pertukangan kayu (joinery), penerapan bata, pelepaan, pembengkokan bar dan kerja konkrit.
Penilaian dijalankan di cawangan Akademi Binaan Malaysia (ABM) atau Pusat Penilaian Kompetensi Bertauliah (PPKB) yang telah diperakui oleh pihak CIDB & Akademi Binaan Malaysia.

Siapakah yang mengeluarkan SKKP?
Sijil dikeluarkan oleh CIDB Malaysia selepas penilaian selesai dan diluluskan. Setelah sijil dikeluarkan CLAB akan mengemaskini cetakan sijil ke portal e-SKKP CLAB.
Boleh Datuk jelaskan kenapa SKKP ini sangat penting ?
SKKP bukan sekadar sehelai sijil, tetapi ia menjadi kayu ukur standard industri yang menilai tahap kemahiran pekerja asing dan mengikut bidang kerja mereka.
Pengiktirafan ini penting bagi memberikan kepastian bahawa pekerja asing yang diambil bekerja benar-benar mahir dan mampu melaksanakan tugasan dengan piawaian keselamatan serta mutu yang ditetapkan industri pembinaan negara.
Ia juga membolehkan pekerja ini mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dan setimpal dengan kemahiran dimiliki.
SKKP juga diiktiraf di luar negara dan ini memberikan peluang yang lebih besar kepada para pekerja untuk mendapatkan pekerjaan di mana-mana projek pembinaan.
Apakah pula kepentingan SKKP ini kepada majikan?
Pekerja binaan asing memainkan peranan besar dalam sektor pembinaan ketika ini. Jadi dengan adanya SKKP, majikan berasa lebih yakin terhadap tahap kemahiran mereka.
Pelaksanaan SKKP ini turut memberi manfaat kepada majikan kerana ia dapat mengurangkan risiko kerja tidak berkualiti, menjimatkan kos pembaikan semula, mempercepatkan tempoh pembinaan dan seterusnya meningkatkan produktiviti projek.
Di samping itu, pekerja binaan asing yang memiliki SKKP lebih mudah untuk ditempatkan di tapak binaan kerana telah melalui proses penilaian yang telus dan profesional oleh CIDB.
Selain itu, CLAB kini dalam fasa bergerak memberikan kesedaran yang meluas kepada syarikat-syarikat kontraktor untuk sama-sama aktif mengakreditasikan pekerja-pekerja mereka.-KOSMO! ONLINE