fbpx
Keberanian Putra Arsymiera memasuki lubang kumbahan demi menyelamatkan seorang pelajar sekolah rendah yang terjatuh ke dalamnya wajar dihargai.

Keberanian Putra Arsymiera selamatkan budak jatuh lubang kumbahan wajar dihargai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keberanian seorang pemuda, Putra Arsymiera, yang sanggup turun ke dalam lubang kumbahan demi menyelamatkan seorang kanak-kanak mendapat perhatian ramai selepas kisahnya dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin di Facebook.

Menurut Mohd. Asna, kejadian berlaku apabila seorang murid sekolah rendah mendakwa melihat seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam lubang kumbahan yang dalam dan gelap.

Beliau berkata, pada awalnya orang ramai di lokasi tidak mempercayai dakwaan tersebut kerana tiada bukti jelas.

“Ketika saya sampai, saya lihat Putra sudah berada di dalam lubang itu sambil berpaut pada sesuatu. Lubang itu sempit, gelap dan tidak diketahui kedalamannya. Walaupun saya bertanya, beliau tetap berusaha menyelam,” katanya.

Tambahnya, keadaan bertukar cemas apabila topi dan kasut kanak-kanak berkenaan timbul ke permukaan, sekali gus mengesahkan ada mangsa di dalam lubang kumbahan tersebut.

“Pada waktu itu, suasana menjadi panik. Namun, Putra tidak menghiraukan keselamatan dirinya, terus menyelam ke dasar untuk mencari mangsa yang dipercayai lemas,” jelasnya.

Mohd. Asna turut menyifatkan tindakan Putra Arsymiera sebagai keberanian luar biasa yang wajar dihargai.

“Putra memang wira yang tidak didendang. Moga Allah memelihara beliau dan seluruh keluarganya atas keberanian ini. Insyallah, saya akan sampaikan perkara ini kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, atas jasa besar beliau,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang murid lelaki sebuah sekolah rendah di Lenggeng, Seremban maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan sedalam 1.8 meter di sekolah berkenaan semalam.

Difahamkan, mangsa berusia sembilan tahun yang juga anak kepada Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah semasa program kejohanan sukan olahraga sekitar pukul 9 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan ia berlaku akibat kemalangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI