PUTRAJAYA – Festival Permainan Malaysia @ Putrajaya 2025 (FPM@Putrajaya 2025) menyasarkan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung bagi edisi ke-10 festival itu.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, buat julung-julung kalinya, edisi kali ini dianjurkan di Putrajaya berbanding Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum ini.
Katanya, edisi penganjuran bermula semalam dan berakhir esok itu adalah acara tahunan dalam kalendar Pelancongan Budaya JKKN.
“Tahun lalu kita berjaya tarik 150,000 pengunjung, kali ini kita sasarkan 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari program.
“Kami masih mengekalkan konsep festival berteraskan permainan rakyat dan diperluaskan dengan pelbagai aktiviti seni budaya, pameran, demonstrasi, aktiviti rekreasi serta jualan.
“Pertandingan permainan tradisional adalah komponen utama festival membabitkan tiga kategori penyertaan iaitu badan beruniform, korporat dan institusi pengajian tinggi,” katanya selepas melancarkan FPM@Putrajaya 2025 di sini semalam.

Menurutnya, selain pertandingan, festival ini turut dimeriahkan pelbagai acara untuk orang ramai seperti permainan legenda rakyat seperti terompah gergasi, susun bata, pancing botol, gelung berantai dan lari guni.
Katanya, aktiviti interaktif seperti memanah tradisional, menyumpit, pertandingan lastik dan baling damak turut disediakan bagi memberi peluang kepada pengunjung mencuba sendiri kemahiran tradisi.
“Antara kelainan yang dibawa kali ini ialah Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 2025 yang akan menghimpunkan lebih 500 peminat basikal lipat tempatan dan luar negara.
“Turut dianjur acara kayuhan santai, pameran, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti lain seperti pertandingan Kabaddi Terbuka Malaysia dan Eksplorasi Bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka,” katanya.
Persembahan Diabolo Kuala Lumpur, perlawanan catur Cina dan catur Melayu, Pertandingan Senam Seni, wall climbing, Wau Fun Run, senaman kecergasan, Agro Madani serta Pertandingan Lagu Rakyat juga dianjurkan.