NEW DELHI – Sebuah mahkamah keluarga di Bhopal, tengah India menerima satu kes luar biasa melibatkan konflik rumah tangga, lapor portal berita Independent kelmarin.
Kes itu melibatkan pasangan suami isteri yang baru beberapa bulan berkahwin tetapi meminta untuk bercerai kerana haiwan peliharaan mereka, seekor anjing dan seekor kucing kerap bergaduh.
Pasangan berkahwin pada Disember 2024 itu telah menghadiri sesi kaunseling mandatori oleh mahkamah dan kemudian memfailkan permohonan cerai, demikian menurut laporan kaunselor.
Si suami yang bertugas dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan isterinya yang juga bekerja, pada awalnya jatuh cinta kerana sama-sama menyayangi haiwan, lapor saluran televisyen NDTV.
Dalam sesi kaunseling, si isteri berkata, anjing suaminya kerap mengganggu malah pernah menyerang kucingnya sehingga dia bimbang tentang keselamatan haiwan itu.
“Kami menasihati pasangan ini berkali-kali, tetapi si isteri tidak mahu melepaskan kucingnya. Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan perkahwinan ini,” kata kaunselor, Shail Awasthi. – AGENSI