PETALING JAYA – Walaupun menerima ancaman keras daripada Israel semalam, lebih 500 sukarelawan termasuk dari Malaysia yang menyertai konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) nekad untuk meneruskan pelayaran ke perairan Gaza yang dijangka tiba lima hari lagi.
Perunding Media AlKhair Malaysia, Razali Awang berkata, kesemua peserta GSF menegaskan komitmen itu ketika mengadakan perbincangan harian sepanjang pelayaran tersebut.
Katanya, kesemua peserta tidak akan sesekali meninggalkan konvoi kerana mereka membawa suara seluruh dunia untuk penduduk Gaza.
“Soal takut itu soal tujuan (misi). Setiap hari ada perbincangan, kami buat keputusan ke Gaza sebulan lalu, jadi jangan tanya kami, tekad diteruskan.
“Seorang peserta GSF dari Sepanyol menyatakan kalau kita mati, kita mati sekali (bersama). Sama ada pergi dan ditangkap bukan soal utama. Misi ini perlu pergi (belayar) ke titik paling akhir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Lebih 50 bot yang dinaiki peserta GSF kini makin menghampiri zon kuning dan berada 500 batu nautika atau kurang 1,000 kilometer dari perairan Gaza.
GSF kelmarin memaklumkan menerima maklumat mengenai ancaman serangan Israel terhadap flotila mereka dalam tempoh 48 jam akan datang.
Serangan itu dijangka melibatkan penggunaan senjata berat yang berupaya menenggelamkan kapal, mencederakan, malah membunuh peserta misi kemanusiaan dari 45 negara tersebut.
Justeru, GSF mengambil langkah meningkatkan keselamatan peserta termasuk pelan kontingensi jika berlaku serangan.
Razali berkata, serangan, pintasan atau sabotaj oleh pihak Israel atau sekutunya memang dijangka sejak pelayaran bermula pada 31 Ogos lalu dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.
Katanya, kipas bot GSF pernah disabotaj ketika berlabuh menyebabkan mereka terpaksa menyelam untuk membaikinya.
“Semua peserta diberikan kursus mengenai protokol ancaman dan sentiasa diingatkan mereka adalah sukarelawan kemanusiaan yang tidak bersenjata.
“Sebab itu kami tidak membawa senjata. Objek tajam kami akan campak ke laut sebaik berdepan pintasan. Pisau (dapur) kami label untuk kegunaan dapur sahaja. Mengikut prosedur ope rasi standard (SOP), kami tidak akan melawan. Kami akan ambil pasport, jaket keselamatan dan pakai kasut menuju ke kawasan ditetapkan atas kapal atau bot.
“Setiap hari kami jalani simulasi jika ada serangan dari depan atau belakang. Kami kuatkan (protokol keselamatan) dengan latihan harian,” katanya.
Jelasnya, kehadiran dron mengekori pelayaran GSF menjadi perkara biasa termasuk dron peninjau dipercayai milik Israel atau Greece semalam kerana mereka kini di perairan Greece.
“Bila nampak dron jangan panik dan lambai tangan. Kalau (mereka) nak buat jahat bom terus. Kapal layar bergerak antara empat hingga lima knot sejam.
“Jadi boleh belayar kurang 100 knot sehari dan ada masa pecut bergantung kepada angin. Kita jangka akan sampai ke perairan Gaza antara empat hingga lima hari lagi,” katanya.
Pada 25 September lalu, Kosmo! melaporkan konvoi GSF digertak lebih 15 dron yang berlegar pada altitud rendah setiap 10 minit atas bot Alma dan kapal pengiring selain 12 letupan udara.
Gangguan yang dipercayai sebagai ugutan terbuka terhadap pelayaran misi kemanusiaan daripada 45 buah negara itu berlaku ketika flotila berada di zon kelabu, perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika. Ia merupakan gangguan keempat sejak belayar di Lautan Mediterranean.














