REMBAU – Bapa kepada murid tahun tiga yang maut terjatuh dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Nilai pagi tadi tidak menyangka kejadian itu berlaku ke atas anaknya, Abdul Fattah Khairol Rizal, 9.
Khairol Rizal Mustafar, 42, berkata, ketika kejadian, dia juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah bersama tetamu kehormat berada di astaka sebelum berlaku kekecohan selepas tamat perbarisan.
“Suasana kecoh sebab yang kata budak jatuh dalam lubang kumbahan. Saya tidak tahu siapa yang jatuh. Perkara pertama saya cari anak-anak dulu. Saya pergi dekat tempat kanak-kanak dan cikgu sedang semak senarai kehadiran.
“Ketika itu kami tidak tahu siapa yang terjatuh. Saya lega bila lihat anak ketiga ada. Saya cari anak kedua (Abdul Fattah) tapi tak jumpa, saya mula rasa tak sedap hati. Selepas itu cikgu panggil dan peluk saya.
“Saya lihat orang berkerumun dan sedang melakukan CPR selepas anak saya dikeluarkan dari lubang kumbahan,” katanya ketika ditemui di Hospital Rembau di sini hari ini.
Menurut lelaki itu, sebaik tiba di wad kecemasan, doktor memakkumkan jantung anaknya sudah berhenti. Khairol Rizal berkata, dia dan isterinya, Norfazila Md Lajin, 43, reda walaupun bersedih dengan kejadian yang menimpa anak mereka.
“Saya tahu di belakang bangunan ada tempat kumbahan, namun tak tahu macam mana Fattah boleh jatuh, ramai beritahu mereka dengar bunyi macam sesuatu (objek) terjatuh dalam air,” katanya.
Khairol Rizal menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kejadian itu. – KOSMO! ONLINE