LANGKAWI – Persembahan melibatkan 380 buah dron mewarnai majlis pengenalan 22 pasukan yang akan menggalas cabaran pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 bermula 28 September hingga 5 Oktober depan.
Berlangsung di Dataran Lang yang merupakan lokasi ikonik Pulau Lagenda itu hari ini, para penonton disajikan dengan persembahan formasi dron yang cukup menarik sehingga menerima tepukan gemuruh.
Majlis penuh gilang-gemilang itu disempurnakan Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Radhi Mat Din diiringi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Abdullah Hasan.

Pada edisi yang sudah memasuki edisi ke-29 itu, seramai 130 pelumba daripada 22 pasukan, termasuk dua pasukan World Tour, Pro Tour (9 pasukan), Benua (10 pasukan) dan kebangsaan (1 pasukan) mengambil bahagian.
LTdL kali ini merangkumi lapan peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,244.2 kilometer (km) dan akan bermula secara rasmi di Langkawi Ahad nanti. – KOSMO! ONLINE