KOTA KINABALU – Saksi kanak-kanak kedua memberitahu Mahkamah Koroner bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah ditahan dan dikepung di satu sudut dorm, beberapa jam sebelum remaja terbabit ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri.
Dalam kejadian itu, beberapa pelajar yang menyoal siasat Zara Qairina berhubung insiden kecurian di asrama terbabit turut mentertawakannya selepas mengetahui hasratnya untuk menjadi Badar (Badan Dakwah dan Kerohanian).
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Rizwandean M. Borhan dan Shahlan Jufri ketika ditemui selepas tamat prosiding inkues yang memasuki hari ke-13 hari ini.
“Saksi kanak-kanak ini telah memberikan keterangan yang terperinci dan agak jelas tentang apa yang berlaku pada malam kejadian (15 Julai 2025) yang melibatkan arwah Zara. Menurut saksi, pada malam 15 Julai, saksi mengadu yang dompet dia hilang dan mengesyaki Zara.
“Kemudian seorang pelajar lain telah memanggil Zara untuk masuk dorm mereka dan Zara telah dibawa ke satu sudut, duduk di sudut itu dan telah disoal sama ada telah mencuri. Pelajar yang bertanya telah meminta Zara bersumpah dan Zara telah bersumpah ‘Wallahi saya tidak mencuri, tidak mengambil dompet itu’. Pelajar yang membuat aduan percaya dan meminta maaf kepada Zara.
“Kemudian tiba-tiba datang satu pelajar lain masuk, marah-marah dan menuduh Zara mencuri pin bendera. Pelajar itu kemudian keluar dan masuk semula bersama dua orang rakannya. Pada masa itu, Zara masih duduk di sudut dorm berkenaan dan turut dikelilingi oleh beberapa pelajar lain,” kata peguam itu.
Berdasarkan keterangan ketua warden, Azhari Abd. Sagap sebelum ini, lima pelajar mengaku menjalankan soal siasat terhadap Zara Qairina sehari sebelum remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri di aras bawah asramanya.
Zara Qairina duduk di bilik A3-5, manakala dia dipanggil untuk disoal siasat di bilik A3-6. Setiap bilik menempatkan 11 pelajar.
Kata peguam itu, saksi kanak-kanak itu memaklumkan terdapat lima pelajar yang mengepung Zara dan tiga daripadanya merupakan penghuni dorm berkenaan (A3-6).
Daripada keseluruhan jumlah itu, hanya seorang sahaja dilihat marah-marah. Bagaimanapun, saksi itu memberitahu tidak berlaku sebarang sentuhan (body touching) terhadap Zara Qairina.
Rizwandean berkata, saksi kanak-kanak kedua itu memberitahu, ketika dikepung Zara Qairina menangis dan tangisannya menjadi lebih kuat apabila ditertawakan oleh mereka yang mengepungnya.
“Zara telah dimarahi dan dihambur dengan kata-kata seperti bodoh, sial. Saksi kata dia nampak Zara menangis dan selepas itu beberapa pelajar telah mentertawakan Zara. Kemudian ada pelajar lain membawa sepucuk surat dan menurut saksi, Zara makin ditertawakan selepas melihat surat itu. Zara makin menangis selepas itu.
“Saksi juga memberitahu dia tidak dapat berbuat apa-apa ketika itu kerana berasa takut. Selepas pelajar-pelajar yang mengepung Zara keluar dari dorm berkenaan, Zara turut berlari keluar,” katanya.
Menjawab pertanyaan mengenai isi kandungan surat berkenaan, Rizwandean memberitahu, Allahyarham pernah menyuarakan keinginan menjadi Badar.
“Badar ialah pengawas sekolah dan dia diketawakan apabila surat ini dibawa oleh salah seorang pelajar. Jadi, mereka membuat jenaka tentang surat itu,” katanya.
Prosiding bersambung esok. – KOSMO! ONLINE