fbpx
LONGGOKAN sampah sebelum dipunggah MDPP berhampiran jambatan Tok Bali, Pasir Puteh semalam.

Pantai Tok Bali jadi ‘tong sampah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Orang ramai yang melalui Pantai Tok Bali di sini, melahirkan rasa tidak selesa berikutan longgokan sampah yang bertimbun di kawasan tong sampah sejak lebih seminggu lalu.

Seorang pengunjung, Ismail Muhammad, 40, berkata kea­daan itu menjejaskan imej Tok Bali sebagai kawasan pelancongan serta dinamakan sebagai Bandar Pelabuhan Maritim.

“Orang ramai berharap Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dapat mengambil tindakan segera menguruskan longgokan sampah yang sebahagiannya melimpah hingga ke tengah jalan.

“Jadual kutipan harian ke pusat pelupusan perlu dilakukan secara berkala supaya masalah longgokan yang mencacatkan pemandangan ini dapat dielakkan. Kebersihan perlu diberi fokus utama kerana prasarana dan pembangunan di kawasan ini sudah dijalankan oleh MDPP,” katanya di sini semalam.

Seorang peniaga, Kamariah Abdul Samad, 43, pula berkata, masalah sampah semakin serius kerana tong sampah yang disediakan bukan sahaja digunakan oleh pengunjung dan peniaga kedai makan, malah turut dikongsi peniaga pasar malam serta penduduk setempat.

“Apabila tong penuh, ada yang sanggup membuang sampah di sekelilingnya menyebabkan kawasan ini berbau dan mencacatkan pemandangan,” katanya.

Masalah tersebut turut mendapat perhatian ramai sehingga tular di media.

Tinjauan mendapati keadaan tidak terurus itu mula berlaku sejak bermulanya cuti penggal persekolahan minggu lalu dengan jumlah sampah meningkat mendadak akibat kunjungan orang ramai.

Sementara itu, Yang Dipertua MDPP, Kamarulzaman Ab. Wahab ketika dihubungi menjelaskan, punca utama masalah longgokan sampah itu adalah kerosakan serius membabitkan dua lori ‘Armroll’ milik pihak berkuasa tempatan itu.

“Sebagai tindakan segera, MDPP telah mendapatkan khidmat syarikat swasta bagi menguruskan kutipan sampah di lapan lokasi tong RORO yang terlibat sejak 18 September lalu.

“Seterusnya, sampah di semua lokasi akan diangkut satu persatu menggunakan tenaga kerja manual dengan bantuan lori kompaktor yang masih beroperasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN