fbpx
Wahyudin kini kembali menjual ais batu. - X

Bekas wakil rakyat dipecat kini jual air batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Bekas ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) wilayah Gorontalo yang dipecat daripada jawatannya, menjadi perhatian ramai selepas sebuah video tular memaparkan dia kembali kepada pekerjaan lamanya iaitu menjual air batu secara kecil-kecilan, lapor laman berita Tribunnews hari ini.

Wahyudin Moridu sebelum ini dipecat daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP). Tindakan itu diambil selepas video memaparkan perbualannya yang mengaku mahu merompak duit rakyat, tular di media sosial.

Video tersebut memaparkan Wahyudin menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) bersama seorang wanita. 

Dengan cara yang santai dan bergurau, dia berkata: “Hari ini kita ke Makassar menggunakan duit negara. Kita rompak sahaja wang negara, kita habiskan sahaja, biar negara ini menjadi lebih miskin.”

Kenyataan ini meskipun disifatkan sekadar gurauan, dianggap sangat tidak wajar, lebih-lebih lagi ia keluar daripada mulut seorang wakil rakyat.

Selepas video itu tular, Wahyudin dipecat daripada PDIP sekali gus menyebabkan dia kehilangan jawatannya.

Namun, dia kembali mengemaskini kehidupan baharunya di laman sosial dengan memberitahu orang ramai bahawa dia kembali menjual air batu.

“Saya kini menjalani aktiviti seperti tahun 2019 iaitu menjadi peniaga kecil-kecilan,”  katanya.

Dalam hantaran video berikutnya, Wahyudin memberitahu bahawa dia turut memandu lori untuk menghantar air batu selain turut menghasilkan ais batu.

“Menjadi usahawan dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Semua yang memerlukan air batu, apa khabar?” kata Wahyudin. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI