SEPANG – Pesta Pantai Bagan Lalang@Sepang 2025 kali keenam menyasarkan seramai lebih 20,000 pengunjung pada 20 dan 21 September 2025.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, acara anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPS) itu berperanan untuk memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.
Katanya, kedudukan Sepang sebagai salah satu pintu masuk utama negara juga perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam memperkenalkan produk-produk tempatan kepada pengunjung serta pelancong.
“Acara dwitahunan ini bukanlah sekadar acara hiburan, tetapi ia boleh menjadi pusat pendidikan penjagaan alam sekitar dengan memperkenalkan produk-produk tempatan yang unik serta memperkenalkan Sepang dengan secara menyeluruh.
“Pihak berkuasa juga perlu agresif mempromosikan produk-produk kita termasuk kepada aktiviti-aktiviti tempatan yang sesuai kepada pengunjung dan pelancong,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Pesta Pantai Bagan Lalang@Sepang 2025 di sini, hari ini.
Katanya, penganjuran acara itu juga menyokong agenda kerajaan negeri dalam sektor pelancongan Selangor yang menyasarkan seramai lapan juta pelancong menjelang Tahun Melawat Selangor 2025.
“Sehingga Jun lalu, sektor pelancongan Selangor telah menerima lebih 4.1 juta pelancong, manakala daerah Sepang telah menarik sebanyak lebih 600,000 pelancong sekali gus kita berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran lapan juta pelancong tahun hadapan,” jelasnya.
Pesta Pantai Bagan Lalang kali ini menampilkan pelbagai acara menarik termasuk 27 aktiviti dan pertandingan sukan rakyat, lebih 30 reruai pameran kebudayaan, jualan produk usahawan serta persembahan kesenian sepanjang dua hari penganjuran. – KOSMO! ONLINE