fbpx
Mengikut statistik setakat Ogos lalu, SPRM menangkap seramai 319 penjawat awam berkaitan rasuah.

Warga asing peluang baik buat ‘duit tepi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sindiket ‘counter setting’ bukan benda baharu. Ia sudah lama diperkudakan oleh pengkhianat yang menjaga pintu keluar masuk negara.

Buktinya, siasatan demi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membongkarkan kegiatan licik mereka ini pada 2024.

Baru-baru ini, SPRM menangkap pasangan pegawai imigresen yang menggunakan wang rasuah diperoleh sejak lima tahun lalu untuk kesenangan diri.

Sebahagian RM900,000 yang dikumpul itu ‘dicuci’ dengan cara membuka kedai barangan kemas atas nama orang lain, membeli tiga kilogram emas dan kenderaan mewah.

Semua duit itu diperoleh melalui kesalahan yang dilakukan ketika menguruskan permohonan majikan terhadap pekerja bagi mempercepatkan proses mendapatkan permit kerja sah warga asing tanpa dokumen.

Berdasarkan statistik, setakat Ogos tahun ini SPRM telah menangkap 319 penjawat awam berkaitan rasuah.

Keadaan ini seolah-olah memberikan gambaran kepada kita bahawa penguat kuasa yang gemar memakan rasuah memandang setiap warga asing di negara ini peluang baik untuk membuat ‘duit tepi’.

Lagi ramai yang kosong dan tinggal lebih masa, lagi mereka suka kerana ia menjadi lubuk mereka membuat duit. Cuma yang menjadi persoalan kepada kita ialah bila agaknya segala pengkhianatan itu bermula.

Ia bagaikan barah yang telah menghinggap sindiket itu. Bila sudah lama sedap mendapat ‘duit tepi’, maka perbuatan itu dilakukan secara berterusan tanpa rasa bersalah.

Pengkhianatan mereka bukan sahaja merugikan negara, malah membawa masalah kepada masyarakat kerana perlu hidup dengan dikelilingi oleh mereka yang mana identitinya meragukan.

Ketika penguat kuasa makan rasuah ini hidup mewah dan bergembira bersama keluarga di lokasi percutian pilihan, ada rakyat tempatan yang diragut, rumahnya dipecah masuk, warga asing pandu atau tunggang kenderaan tanpa lesen hingga menyebabkan kemalangan dan lain-lain.

Sebenarnya, amat mudah untuk mengesan penguat kuasa yang makan rasuah. Ia dapat dihidu daripada segi gaya hidup, pemilikan aset, bahasa tubuh, gerak geri, perubahan gaya bekerja dan lain-lain.

Jika ada sahaja mereka yang mempunyai ciri-ciri ini, ketua jabatan perlu menyiasat dari mana sumber kewangan diperoleh. Bukan hendak menyibuk, tetapi ia boleh mencemaskan si pemakan rasuah.

Jarang orang mendapat duit mudah untuk stay low. Mereka sebaliknya suka show off dan mudah berjoli kerana duit rasuah ini ‘panas’.

Rakan sekerja yang jujur memainkan peranan penting untuk membuat aduan kepada pihak berkaitan. Sudah tentu dalam kelompok penguat kuasa, ada seorang dua yang masih tebal imannya untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk makan suap.

Mereka inilah sebenarnya hero kepada negara. Hasil daripada maklumat awal merekalah, maka kerja haram yang melingkupkan negara itu dapat dibongkarkan.

Dengan segala macam pancaroba hidup yang perlu orang lain hadapi, adakah masih ada lagi pengkhianat negara yang sedang bekerja hari ini? Insaflah kerana lama-kelamaan kerja kotor anda akan terbongkar jua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN