fbpx
TAUGE merupakan sayuran yang tidak disukai wanita berada, Rose sejak kecil, sedangkan suaminya yang berasal dari kampung terbiasa makan tauge dan mahu makan tauge setiap hari sehingga memaksa wanita itu makan.- Gambar hiasan

Rumah tangga musnah hanya kerana tauge

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAUGE merupakan sejenis sayur daripada kecambah kacang hijau yang paling mudah hidup dan sering digunakan dalam masakan harian.

Pun begitu, bagi Rose (bukan nama sebenar), tauge memberi makna yang lebih tragis dalam hidupnya ketika bergelar isteri sebelum ini.

Terbuka berkongsi episod hitamnya kepada K-Wanita, anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, dia dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang boleh dikatakan senang.

Jelas wanita tersebut, ibu bapanya mempunyai perniagaan logistik sendiri dan kebanyakan daripada adik-beradiknya juga bekerja membantu membangunkan perniagaan keluarga itu.

“Cuma saya seorang yang tidak suka bekerja dengan keluarga dan ambil jalan untuk buat apa yang saya suka tanpa aturan keluarga.

“Saya berjumpa dengan bekas suami ketika sama-sama bekerja di salah sebuah syarikat berstatus berhad di Shah Alam,” katanya.

Akui Rose, semua jodoh adik-beradiknya diatur oleh ibu serta bapanya dan mereka hanya memilih yang sekufu mahupun setaraf.

“Dia (bekas suami) orang biasa-biasa sahaja, tapi saya suka dan tertarik dengannya. Sampailah satu hari saya perkenalkan dengan keluarga dan ia berakhir dengan tentangan hebat.

“Macam saya kata, saya ini seorang yang keras kepala dan degil. Apa yang saya nak buat, saya akan buat. Begitu juga dengan soal perkahwinan dan siapa yang bakal jadi suami,” ujarnya.

Diringkaskan kisah, Rose selamat dinikahkan dengan Ari (bukan nama sebenar) tanpa kehadiran dan sokongan daripada keluarganya meskipun sudah diundang.

Bercerita mengenai suaminya, Ari seorang yang sangat baik dari kaca mata Rose dan sifat itu jugalah yang membuatkannya jatuh hati.

Selepas beberapa bulan melayari rumah tangga, Rose mula mengenali apa yang disukai dan tidak digemari lelaki itu.

“Ari ini ada satu tabiat yang dia tersangatlah suka makan sayur-sayuran. Dia pula jenis suka saya masak di rumah dan kurang makan di luar.

“Jujur saya bukan wanita yang suka dan pandai masak. Tetapi disebabkan dia, saya tunduk dan belajar memasak demi kemahuannya.

“Sayur yang dia akan makan setiap hari adalah tauge. Ya tauge. Sedangkan sayur itulah saya memang geli dan tak akan makan sejak dari kecil.

“Berilah sayur lain meskipun tidak berapa menggemari, saya akan cuba makan. Syaratnya bukan sayur tauge,” katanya.

Pun begitu, disebabkan suaminya suka makan tauge, dia akan memasaknya setiap hari atau paling mudah dimakan mentah bersama nasi.
Cerita Rose, suaminya bukan seorang yang suka memaksa tetapi selepas mengetahui dia tidak suka makan tauge, sikap lelaki itu berubah.

Ujarnya, setiap kali makan bersama, dia akan memaksa Rose untuk makan tauge di depannya sampai habis.

“Suami kata dia dulu hidup susah di kampung dan tauge sahajalah yang paling murah dan mampu dibeli keluarganya untuk besarkan kesemua tujuh beradik.

“Kalau ada antara adik-beradiknya yang tidak makan pasti akan dimarahi ibu bapanya kerana dianggap tidak bersyukur dan menolak rezeki.

“Itu apa yang dilakukan suami kepada saya hanya kerana kisah silamnya itu. Anak-anak kami juga dipaksa makan tauge sejak berusia setahun,” katanya.

Puas dipaksa makan hingga kerap muntah tatkala disuap paksa suaminya, Rose mula merasakan karma mula menimpa dirinya yang dahulu langsung tidak mengendahkan ibu dan bapanya.

Jelas Rose lagi, suaminya berubah dan menunjukkan sikap sebenarnya yang tinggi ego dan pemaksa selepas berkahwin dengannya.

“Suami juga pernah ugut untuk lepaskan saya kalau saya masih tak makan tauge seperti apa yang dimahukan.

“Bukan tidak cuba, saya sudah lakukan tetapi tetap juga sukar dilakukan. Pada akhirnya saya loya dan berakhir dengan muntah di atas meja makan.

“Lagi saya muntah lagilah suami marah dan bentak-bentak saya dengan kata-kata kasar. Sumpah saya mula rasa menyesal kenal lelaki berperangai syaitan itu,” tuturnya.

Puas diperlakukan sedemikian rupa dan dibuli mental, Rose tekad memfailkan perceraian di mahkamah.

Selang beberapa waktu, Rose dan suami ‘taugenya’ itu bercerai atas perintah mahkamah dan hak penjagaan anak diberikan sepenuhnya kepada wanita itu dan dia akhirnya pulang ke pangkuan keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN