KUANTAN – Nahas pesawat pejuang F/A-18D Hornet di Pangkalan Udara Kuantan di sini bulan lalu berpunca daripada serangan burung (birdstrike) yang menyebabkan kegagalan fungsi enjin kiri ketika fasa berlepas.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, penemuan itu diperoleh hasil siasatan awal Lembaga Siasatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula 22 Ogos lalu.
Katanya, siasatan itu dilaksanakan dengan bantuan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Jabatan Kimia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy).
“Hasil analisis melibatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), data sistem Deployable Flight Incident Recorder System (DFIRS) dengan kerjasama US Navy dan dapatan teknikal Jabatan Kimia, STRIDE, PDRM dan Perhilitan.
“Semua maklumat itu mengukuhkan dapatan bahawa kemalangan berpunca daripada ‘birdstrike’ membabitkan seekor burung spesis bangau dikenali Purple Heron,” katanya pada sidang akhbar khas di Pangkalan Udara Kuantan hari ini.
Menurut beliau, jenis burung itu dikenal pasti hasil ujian dijalankan daripada cebisan tulang haiwan tersebut yang ditemukan dalam enjin pesawat serta dengan bantuan pihak Perhilitan.
“Kemalangan itu tidak dapat dielakkan walaupun prosedur menghalau haiwan liar termasuk burung sudah dilakukan sebelum pesawat berkenaan berlepas.
“Ini bukan kali pertama kejadian ‘birdstrike’ namun sebelum ini tidak menggugat keselamatan namun kejadian kali ini lebih buruk disebabkan saiz burung bangau yang agak besar,” katanya.
Susulan hasil siasatan itu, katanya, pengoperasian pesawat F/A-18D Hornet akan diteruskan seperti biasa malah pesawat buatan Amerika Syarikat itu telah memulakan penerbangan pertama hari ini selepas digantung operasi sejak insiden berkenaan.
Sementara itu, Muhamad Norazlan berkata, kedua-dua anak kapal itu kini masih dalam proses pemulihan sehingga 2 Oktober depan sebelum menjalani ujian tahap kesedian untuk kembali menerbangkan pesawat.
Dalam kemalangan pada malam 21 Ogos lalu dioperasikan oleh juruterbang pesawat, Mejar Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor senjata, Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28.
Mejar Azhar mengalami kecederaan kesan terbakar pada bahagian kaki kiri, manakala Kapten Mohamad Izzuddin pula hanya dikesan mempunyai kesan lebam-lebam pada beberapa bahagian badan.- KOSMO! ONLINE














