fbpx
Fenomena bulan darah terjadi apabila kedudukan Bulan, Bumi dan Matahari berada pada satu garisan lurus sehingga Bulan yang biasanya berwarna putih kekuningan bertukar menjadi merah jingga seperti darah.

Keunikan ‘bulan darah’ supermoon gerhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA malam 7 September lalu sehingga awal pagi 8 September, langit dunia kembali dihiasi dengan fenomena astronomi yang menakjubkan iaitu gerhana bulan penuh atau lebih popular dengan sebutan ‘bulan darah’ (blood moon).

Fenomena ini berlaku apabila kedudukan Bulan, Bumi dan Matahari berada pada satu garisan lurus, menyebabkan bayangan Bumi menutupi Bulan.

Apa yang menjadikan ia istimewa ialah cahaya Matahari yang melalui atmosfera Bumi dibiaskan sehingga hanya spektrum cahaya merah yang sampai ke permukaan Bulan.

Hasilnya, Bulan yang biasanya kelihatan putih kekuningan bertukar menjadi merah jingga seperti darah.

Menurut kenyataan dari Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), gerhana bulan total kali ini mencuri perhatian ramai kerana ia boleh disaksikan dengan jelas di hampir seluruh Asia, termasuk Malaysia, Indonesia serta beberapa bahagian dunia lain.

“Di Malaysia khususnya, fenomena ini dapat dinikmati dari awal fasa penumbra hingga ke Fasa Penuh Maksima (kemuncak), bergantung kepada keadaan cuaca dan pencemaran cahaya di kawasan masing-masing.

“Fasa kemuncak yang berlangsung lebih sejam menjanjikan pengalaman visual yang mengasyikkan buat mereka yang gemar menatap keindahan langit malam,” katanya.

Untuk memahami dengan lebih dekat, gerhana bulan berlaku dalam beberapa fasa. Prosesnya bermula pada jam 11.28 malam, 7 September, apabila Bulan memasuki kawasan penumbra iaitu bayangan luar Bumi.

Pada tahap ini, perubahan warna hanya kelihatan samar-samar, seolah-olah Bulan kehilangan sedikit kilauannya. Kemudian, pada pukul 12.26 pagi, 8 September, fasa separa bermula apabila Bulan mula memasuki umbra, bahagian bayangan gelap Bumi.

Bahagian Bulan kelihatan seperti digigit sedikit demi sedikit, menjadikan ia saat yang paling mengujakan untuk diperhatikan.

Puncak fenomena tiba apabila Bulan sepenuhnya berada dalam umbra, bermula sekitar pukul 1.30 pagi.

Salah satu lensa menarik yang merakamkan keindahan bulan darah di dunia.

Ketika itu, cahaya merah jingga mulai mendominasi, dan tepat pada pukul 2.11 pagi, gerhana mencapai tahap maksimum. Inilah saat paling indah, apabila seluruh Bulan memancarkan cahaya merah pekat yang menyerupai darah.

Fasa penuh ini berlangsung sehingga pukul 2.53 pagi, sebelum perlahan-lahan Bulan mula keluar dari umbra.

Gerhana separa kemudian berakhir pada pukul 3.56 pagi, manakala keseluruhan fenomena benar-benar tamat apabila Bulan keluar sepenuhnya dari bayangan penumbra pada pukul 4.55 pagi.

Secara keseluruhannya, fenomena bulan darah kali ini berlangsung hampir lima jam, memberi ruang luas kepada orang ramai untuk menikmatinya dari awal hingga akhir.

Apa yang menjadikan gerhana bulan 7 September ini lebih unik ialah kedudukannya yang berlaku hanya kira-kira dua hingga tiga hari sebelum Bulan berada pada perigee, iaitu titik paling dekat dengan Bumi dalam orbit elipsnya.

Berkongsi fakta mengenai fenomena itu, ketua saintis di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall NASA di Huntsville, Alabama, Amerika Syarikat, Dr. Renee Weber, memberitahu, walaupun perbezaan saiznya tidak terlalu ketara dengan mata kasar, hakikatnya Bulan kelihatan sedikit lebih besar dan terang berbanding biasa.

“Ini sering digelar sebagai ‘supermoon gerhana’, satu gabungan jarang yang menambahkan lagi keistimewaan fenomena ini.

“Dari sudut sains, fenomena bulan darah memberikan peluang besar kepada para pengkaji. Ahli astronomi dan ahli fizik atmosfera menggunakan gerhana bulan untuk meneliti bagaimana cahaya

Matahari dibiaskan melalui atmosfera Bumi,” ujarnya.

Katanya lagi, warna merah yang muncul juga boleh memberi petunjuk tentang keadaan atmosfera semasa, termasuk tahap debu, asap kebakaran hutan atau zarah pencemar lain.

Semakin tebal partikel di udara, semakin pekat warna merah yang dipantulkan ke permukaan Bulan.

Kajian ini bukan sahaja menambah pengetahuan tentang astronomi, malah membantu memahami perubahan iklim dan kesihatan atmosfera kita.

“Namun, selain nilai saintifik, bulan darah juga mempunyai dimensi budaya dan spiritual yang panjang.

“Dalam sejarah manusia, gerhana sering dianggap sebagai tanda atau petanda besar. Ada masyarakat tradisional yang mengaitkannya dengan ramalan, kepercayaan mistik atau peristiwa penting,” kongsinya.

Walaupun hari ini masyarakat sudah memahami ia sebagai fenomena astronomi semata-mata, kekaguman dan rasa takjub tetap dirasai.

Ramai yang memanfaatkan momen ini untuk merenung kebesaran ciptaan Tuhan, selain menjadikan ia alasan berkumpul bersama keluarga atau komuniti untuk menikmati langit malam.

Di Malaysia misalnya, masjid dan surau sering mengadakan solat sunat gerhana bulan sebagai salah satu bentuk ibadah yang dianjurkan.

Bagi peminat astronomi pula, gerhana menjadi kesempatan mengadakan sesi cerapan bersama masyarakat, lengkap dengan teleskop dan kamera untuk merakamkan detik bersejarah ini.

Malah, institusi pendidikan dan pusat sains biasanya tidak ketinggalan mengadakan siaran langsung atau bengkel bagi mendekatkan generasi muda kepada bidang astronomi.

Bagi orang awam, menyaksikan bulan darah tidak memerlukan peralatan canggih. Mata kasar sudah memadai untuk mengagumi perubahannya.

Namun, bagi yang ingin pengalaman lebih mendalam, teleskop atau teropong boleh digunakan untuk melihat perincian permukaan Bulan ketika berada dalam bayangan.

Mereka yang gemar fotografi pula boleh menggunakan kamera dengan tetapan manual, tripod serta kelajuan rana perlahan untuk merakam warna merah pekat Bulan dengan lebih dramatik.

Fenomena bulan darah pada 7 September 2025 adalah lebih daripada sekadar keindahan visual. Ia adalah peringatan bahawa alam semesta ini penuh dengan keteraturan dan keajaiban.

Dari segi sains, ia membuka jendela untuk memahami atmosfera dan cahaya. Dari segi budaya, ia menyatukan manusia dengan rasa kagum yang sama terhadap langit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN