KUANTAN – Peneroka Felda Bukit Goh, di sini dilihat bakal menjadi jutawan berdasarkan kepada pelbagai cadangan dan tawaran pembangunan yang dirancang di kawasan itu.
Jika kata sepakat dicapai, mereka bakal mengikut jejak kumpulan peneroka Felda di Sendayan, LBJ, Cahaya Baru dan Bukit Cherakah yang menjadi jutawan segera selepas menerima bayaran lumayan antara RM1.2 juta hingga RM1.5 juta hasil pembangunan tanah mereka.
Difahamkan, peneroka Felda LBJ ditawarkan bayaran RM1.5 juta bagi setiap orang, Felda Sendayan (RM1.2 juta), Felda Cahaya Baru (RM1.3 juta) dan Felda Bukit Cherakah (RM1.35 juta).
Untuk rekod, Felda Bukit Goh yang berkeluasan 2,715.4 hektar itu mempunyai seramai 671 orang peneroka.
Selain daripada tawaran pembangunan bercampur, peneroka di kawasan itu juga boleh membuat pilihan pembebasan mineral dan tanam semula sawit yang menjanjikan pulangan lumayan.
Untuk pembebasan mineral atau pengeluaran bauksit, peneroka terbabit boleh mendapat pendapatan sehingga RM2 juta bergantung kepada jumlah dan kuantiti mineral itu dengan kadar harga antara RM6 hingga RM10 bagi setiap tan.
Bagi penanaman semula pula, sara hidup selama tiga tahun sebanyak RM1,000 sebulan sebelum dijangka memperoleh pendapatan hasil tuaian bulanan sehingga RM1,400 sebulan.

Untuk pilihan ketiga iaitu melalui projek pembangunan ladang solar berskala besar, ia melibatkan fasa pertama membabitkan 227 peneroka dengan keluasan tanah 2,200 ekar.
Melalui projek tersebut, peneroka terlibat akan menerima jumlah keseluruhan kira-kira RM1.15 juta hasil sewaan tanah mereka selama kira-kira 25 tahun.
Seorang peneroka Felda Bukit Goh yang hanya mahu dikenali sebagai Min berkata, berdasarkan taklimat hala tuju Bukit Goh baru-baru ini, mereka ditawarkan wang tunai RM1 juta bagi melaksana pembangunan bercampur di tanah ladang mereka.
Selain itu katanya, peneroka juga akan menerima sebuah rumah semi D bernilai RM500,000 dalam tempoh lima tahun selepas tarikh perjanjian dilakukan.
“Sebenarnya kami masih berfikir apakah yang menjadi pilihan kerana banyak projek dirancang di kawasan ini dan kami juga berharap tidak tertipu.
“Kami harap semua projek termasuk pembangunan bercampur ini mempunyai hitam putih dan mendapat campur tangan serta jaminan daripada kerajaan negeri dan Felda,” katanya.
Tambahnya, pada masa ini dia dan waris belum membuat apa-apa keputusan kerana menunggu respon kerajaan negeri.
Sementara itu seorang lagi peneroka yang enggan dikenali berkata, seharusnya nilai tanah di kawasan itu lebih tinggi iaitu pada kadar RM1.8 juta berdasarkan kepada nilai semasa.
Katanya, nilainya patut lebih tinggi kerana peneroka akan kehilangan tanah mereka buat selama-lamanya berbanding dengan cadangan lain iaitu penanaman semula dan projek solar. -KOSMO! ONLINE
















