KUALA LUMPUR – Masalah teknikal dipercayai menjadi punca sebuah hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta dan menyebabkan kemalangan enam kenderaan di Jalan Hang Tuah menghala ke Jalan Imbi, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kejadian terbabit beraku sekitar pukul 11.30 malam.
Menurutnya, kejadian dipercayai bermula apabila sebuah bas yang dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an hilang kawalan lalu merempuh sebuah kereta Nissan Sylphy yang dipandu lelaki berusia 56 tahun.
“Impak pelanggaran tersebut menyebabkan sebuah lagi bas Scania dipandu lelaki berusia 47 tahun dan tiga kenderaan lain turut terlibat dalam kemalangan berangkai berkenaan.
“Ia membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Staria, Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 29 tahun serta Honda City yang dipandu lelaki berusia 24 tahun,” jelasnya.
Mohd. Zamzuri berkata, kedua-dua bas tersebut membawa penumpang, namun kesemua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Akibat kejadian itu, pemandu kereta Nissan Sylphy berusia 56 tahun serta beberapa penumpangnya mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
“Kesemua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai lima orang termasuk dua kanak-kanak cedera ringan dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan serta dua bas persiaran di Jalan Hang Tuah, di sini, semalam. – KOSMO! ONLINE