KUALA LUMPUR – Seorang warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Kepong, di sini awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri. Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu berlaku semasa kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa di lorong kanan telah dilanggar dari sisi kiri oleh sebuah kereta jenis Honda City.
Beliau berkata, Honda City terbabit didapati secara tiba-tiba mengubah haluan ke lorong kanan kerana cuba mengelak objek di atas jalan raya.
“Akibat kemalangan tersebut, seorang lelaki warga tempatan berusia 70 tahun, yang merupakan pemandu kereta Perodua Kancil, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan.
“Manakala pemandu kereta Honda City, seorang lelaki berusia 29 tahun, mengalami kecederaan di tangan dan bibir telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE